Zionis aniaya nelayan Palestin di Gaza
Ganggu aktiviti tangkap ikan melalui tembakan, rosakkan bot

GAZA, 12 Zulkaedah 1443H, Ahad – Tentera Laut Israel melepaskan tembakan ke arah nelayan Palestin ketika sedang menangkap ikan di perairan Gaza sehingga memaksa mereka kembali ke pantai.
Memetik agensi berita Wafa, rejim Israel melepaskan lima tembakan dan meriam air ke arah kumpulan nelayan kira-kira enam batu nautika dari Gaza, sekali gus memaksa mereka menghentikan aktiviti penangkapan ikan dan kembali ke pantai.
Sejak dahulu lagi, tentera pengganas Israel telah mengganggu aktiviti nelayan Palestin Gaza dengan menembak ke arah kumpulan nelayan selain merosakkan bot mereka.
Malah, terdapat laporan menyatakan ada sebilangan nelayan terbunuh atau cedera akibat terkena tembakan rejim pengganas itu.
Selain menyerang nelayan Palestin, tentera pengganas Israel sering melarang bot-bot memasuki perairan serta mengehadkan zon tangkapan yang boleh diakses oleh penduduk Palestin dari Gaza.
Sejak 2007, pihak berkuasa tentera laut negara haram telah menguatkuasakan sekatan di sepanjang 40 kilometer di Gaza.
Sekatan berkenaan telah menghalang 3,700 nelayan berdaftar daripada melakukan aktiviti penangkapan ikan di Gaza – majoriti kumpulan nelayan berkenaan terdiri kumpulan miskin tegar.
Lebih menyedihkan Zionis juga mengecilkan zon penangkapan daripada 25 batu nautika kepada hanya enam batu nautika dari perairan Gaza, menurut Kumpulan Hak Asasi Kemanusian Israel, B’ Tselem. – Agensi