Berita Utama

4 kedai serbaneka di Bangi, Kajang sudah henti jual arak

ISMA Bangi ucap tahniah, bukti mereka cakna suara NGO

BANGI, 12 Zulkaedah 1443H, Ahad – Penjualan arak di kedai serbaneka sekitar Bangi dan Kajang berjaya dihentikan selepas mendapat bantahan bertulis daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pada Ramadan lalu.

Yang Dipertua ISMA Bangi, Ustaz Bilal Jailani berkata, tinjauan yang dilakukan hari ini di lima kedai serbaneka di kawasan berkenaan mendapati empat daripadanya telah menghentikan penjualan arak di premis mereka.

Beliau berkata, empat premis terbabit adalah KK Supermart Hentian Kajang, Potboy Mart Hentian Kajang, MyNews Bangi Avenue dan Speedmart Bangi Vista.

“ISMA Bangi mengucapkan setinggi tahniah dan syabas, kami menyerahkan surat terima kasih dan bungkusan coklat sebagai simbol penghargaan.

“Tindakan menghentikan jualan arak ini menunjukkan mereka cakna kepada suara-suara NGO dan komuniti,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.

Pada masa sama, Ustaz Bilal memaklumkan ISMA Bangi turut mengunjungi sebuah kedai serbaneka, Speedmart di Taman Kajang Mewah untuk menyerahkan surat bantahan penjualan minuman keras di premis itu.

“Diharap mereka menyahut seruan kami. Perjuangan membantah penjualan arak perlu diteruskan di semua komuniti.

“Arak adalah musuh seluruh manusia, merentas umur, bangsa dan agama. Teruskan berkempen bersama ISMA,” katanya.

Penyerahan surat bantahan penjualan arak di kedai serbaneka adalah antara sebahagian usaha ISMA melalui kempen ‘Malaysia Sejahtera Tanpa Arak’ yang dilancarkan pada 5 Februari lalu.

Kempen bersama Yayasan Maghfirah itu, bukan hanya disasarkan kepada golongan muslim, tetapi juga untuk setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Ia itu turut mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain antaranya Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID), Malaysia Alliance of Civil Society Organisation (MACSA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button