Berita UtamaIstimewa

Pelik! Kenapa perlu terhegeh-hegeh sambut Bon Odori?

Adakah hubungan diplomatik akan tergugat jika ia tak disambut

BANGI, 9 Zulkaedah 1443H, Khamis – Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengakui pelik melihat sikap segelintir umat Islam yang terhegeh-hegeh mahu menyertai program Festival Bon Odori yang dijadualkan berlangsung pada 16 Julai depan.

Katanya, lebih menyedihkan apabila ada yang sanggup mempertahankan perayaan itu dengan bersungguh-sungguh, sedangkan perayaan agama sendiri dibuat endah tak endah.

“Saya hairan selama ini bila bukan Islam mengadakan sambutan Qingming, cuci kubur pada April lalu, tidak ada pula orang Islam yang sambut, kenapa tidak bising.

“Kenapa tidak timbul perayaan memisahkan kita? Kenapa orang Jepun begitu sedikit yang ada di sini kita terlalu obses? Sejak bila perayaan menyatukan kita?” soalnya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan sama ada hubungan diplomatik akan tergugat jika Festival Bon Odori tidak disambut.

“Singkat sangat pemikiran kita. Nak kata bodoh nanti marah.

“Jika benarlah mereka mahu sambut mengingati nenek moyang, patutkah kita bersuka ria dengan menari-nari. Sepatutnya bersedihlah sedikit. Hak Melayu ini suka sangat terikut-ikut menari-nari pasal apa?” soalnya.

Festival Bon Odori – yang sudah disambut di Jepun sejak 500 tahun lalu – menampilkan persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.

Amalan Buddha-Confucian ini berkembang menjadi musim cuti di mana keluarga berkumpul di tempat kelahiran nenek moyang, melawat dan membersihkan kubur mereka.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihati umat Islam tidak menyertai sebarang aktiviti keagamaan yang tidak mempunyai kaitan dengan Islam terutama ‘Bon Odori’ yang berlangsung di Shah Alam pada 16 Julai ini.

Beliau berkata, perayaan yang diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam itu disahkan mempunyai unsur-unsur keagamaan dan bertentangan dengan Islam.

Susulan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan Idris yang juga Naib Presiden PAS hadir ke festival berkenaan supaya menteri berkenaan dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button