Berita Utama

Kemasukan makanan halal tetap tertakluk bawah Perintah Perihal Dagangan

Jakim iktiraf 84 badan pensijilan halal luar negara dari 46 negara

KUALA LUMPUR, 12 Zulkaedah 1443H, Ahad – Walaupun kerajaan telah memansuhkan kelulusan kuota permit import (AP) bagi beberapa bahan makanan, namun sebarang kemasukan makanan halal tetap tertakluk kepada Perenggan 5 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011.

Sekretariat Majlis Halal Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyatakan, perenggan berkenaan menetapkan semua makanan dan barang import yang dipasarkan di Malaysia tidak boleh diperihalkan sebagai halal, melainkan jika makanan dan barang import itu mematuhi kehendak perenggan 4 atau diperakukan sebagai halal oleh badan pensijilan halal luar negara diiktiraf JAKIM.

“Bagi memastikan status halal makanan yang diimport, JAKIM telah mengiktiraf 84 badan pensijilan halal luar negara daripada 46 buah negara di seluruh dunia.

“Ia berfungsi sebagai badan bertanggungjawab menyelia dan mengawal pelaksanaan sistem halal di rumah sembelihan yang diluluskan untuk mengeksport daging ke Malaysia dan industri yang mengeksport produk mereka ke dalam negara,” menurut sekretariat berkenaan dalam kenyataan kepada Bernama. 

Pada 18 Mei lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan kerajaan untuk tidak mengenakan AP bagi mengimport produk makanan ke negara ini berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan bekalan makanan yang mencukupi di negara ini.

Sekretariat itu menyatakan pihak industri di peringkat antarabangsa yang mengeksport produk mereka ke Malaysia juga sangat memahami keperluan dan standard halal negara yang ketat dan menyedari bahawa keupayaan mereka mematuhi keperluan dan standard halal Malaysia sebagai satu penanda aras tinggi bahawa produk mereka boleh diterima sebagai halal di peringkat antarabangsa.

Menurut sekretariat itu, pengesahan dan pensijilan halal yang dikeluarkan adalah mengikut piawaian yang ditetapkan dan melalui tapisan dan semakan yang ketat di setiap peringkat.

“Ada banyak peringkat dan tapisan yang perlu dilalui sebelum sesuatu kelulusan atau pengesahan halal diberikan. JAKIM mengamalkan pengasingan (impartiality) dalam menjalankan tugasan demi menjaga integriti halal dan ketelusan,” menurut kenyataan itu. 

Berhubung rumah sembelihan luar negara, sekretariat berkenaan menyatakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan JAKIM dengan kerjasama badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf sentiasa memastikan rumah sembelihan luar negara yang mendapat kelulusan mengeksport daging mereka ke Malaysia adalah mematuhi keperluan halal seperti yang telah ditetapkan.

Sekretariat itu memaklumkan rumah sembelihan atau loji pemprosesan yang diluluskan mengeksport produk mereka ke Malaysia dikehendaki melaksanakan sistem halal sepenuhnya berdasarkan keperluan di dalam Malaysian Protocol for the Halal Meat and Poultry Production dan MS Halal Food – Production, Preparation, Handling and Storage – General Guidelines (MS 1500:2009).

“Rumah sembelihan itu turut dipantau oleh pihak berkuasa di negara mereka sendiri dan mereka terikat dan wajib mematuhi keperluan-keperluan sebagai pengeksport yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negara mereka,” menurut kenyataan itu.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button