Berita Utama

Kenaikan kos haji diharap seiring kualiti perkhidmatan jemaah

3,882 jemaah kita selamat tiba di Madinah menerusi 15 penerbangan

MAKKAH, 12 Zulkaedah 1443H, Ahad – Kenaikan kos mengerjakan haji tahun ini diharap seiring dengan kualiti perkhidmatan dan kebajikan yang bakal dinikmati jemaah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, keadaan kenaikan kos bukan sahaja menjadi topik utama di tanah air tetapi juga negara lain, malah TH meletakkan harapan tinggi agar perjalanan haji tahun ini lebih baik dari sebelumnya.

“Perkara ini ada dibincangkan dengan negara-negara serantau bahawa kos haji yang meningkat begitu ketara berbanding tahun sebelum ini… ia disebabkan beberapa faktor luar kawalan seperti inflasi, percukaian dan sebagainya. 

“Ada juga penambahbaikan perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi serta Muassasah Asia Tenggara. Ini adalah selaras dengan visi dan misi 2030 kerajaan Arab Saudi. Kita berharap kenaikan kos turut meningkatkan kualiti perkhidmatan khususnya semasa Masyair,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menyambut ketibaan 291 jemaah dari Madinah di hotel Land Premium, di sini, iaitu hotel kedua yang dibuka untuk jemaah Malaysia.

Menurut Syed Saleh, perkhidmatan Makkah Route atau pra pelepasan untuk jemaah haji Malaysia juga adalah salah satu perkhidmatan terbaik, apatah lagi Malaysia terpilih di antara lima negara lain yang dipilih Arab Saudi.

Selain itu, kemudahan lain yang diharapkan ditambah baik termasuklah keselesaan di khemah sama ada di Arafah dan Mina, kemudahan tandas, kualiti sajian serta kelancaran pergerakan bas.

“Makkah Route mampu memberi kemudahaan dan keselesaan yang sangat baik kepada jemaah haji kita kerana apabila mereka sampai sahaja di lapangan terbang sama ada di Terminal Madinah atau Jeddah, mereka terus menaiki bas tanpa melalui imigresen, kastam dan tanpa perlu menunggu beg.

“Mereka juga akan terus menaiki bas ke hotel dan barangan mereka akan dihantar ke hotel masing-masing. Perkhidmatan tambah baik juga akan dirasai oleh jemaah ketika di Arafah dan Mina. Khemah adalah yang baharu serta mempunyai pendingin hawa,” katanya.

Tegas beliau, walaupun kos meningkat, hanya sebahagian sahaja ditanggung oleh jemaah haji manakala selebihnya diuruskan oleh TH melalui pelbagai pendapatan, pelaburan dan perniagaan, malah ia melibatkan perbelanjaan tambahan yang besar.

Jemaah yang telah berada di Madinah dan Makkah juga terpaksa berdepan dengan kenaikan harga makanan di restoran serta barangan lain. 

“Sebenarnya kenaikan kos yang ketara ini turut melibatkan semua barangan dan perkhidmatan di Arab Saudi…bukan sahaja mengerjakan haji tetapi juga kehidupan harian. Jemaah akan rasai kenaikan harga barangan untuk mereka beli sebagai cenderahati apabila mereka balik ke tanah air nanti,” katanya.

Sementara itu, 3,882 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Madinah menerusi 15 penerbangan.

Seterusnya mereka akan tiba di Makkah secara berperingkat untuk mengerjakan umrah pertama serta mengikuti pelbagai program menarik yang dianjurkan pihak TH.

Sepertimana jemaah dari penerbangan lain, malam tadi kesemua mereka yang melalui penerbangan KT04 disambut meriah dengan menerima jambangan bunga, manisan serta dihidangkan dengan air zam-zam oleh pihak pengurusan.

Salah seorang jemaah, Isnaini Raman, 48, berkata beliau sangat teruja dan bersyukur kerana terpilih ke Tanah Suci, meskipun adakala rindu dengan keluarga apatah lagi suami tidak dapat menemaninya.

“Saya menerima tawaran haji pada 2020 tetapi tertangguh kerana COVID-19, alhamdullillah kali ini dapat dilaksanakan. Sukar nak digambarkan dengan kata-kata. Layanan dari pengurusan TH juga buat ramai jemaah terharu,” katanya.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button