Berita Utama

PAS nasihat Zahid Hamidi henti dulu ‘politiking’

Saran bantu PM, kerajaan selesaikan masalah rakyat

BANGI, 12 Zulkaedah 1443H, Ahad – PAS menasihatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya berhenti berpolitik buat sementara waktu, terutama dalam mendesak Perdana Menteri menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata, Ahmad Zahid sepatutnya memberi tumpuan dalam membantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi dari aspek ekonomi.

“PAS menyeru kepada Presiden UMNO untuk berhenti seketika ‘berpolitiking’ kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan.

“Seharusnya beliau berikan tumpuan bagi menggerakkan jentera UMNO untuk bersama dengan Perdana Menteri dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat terutama dalam hal ekonomi yang menekan akhir-akhir ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairil Nizam menegaskan, masalah utama yang dihadapi negara hari ini bukanlah isu parti mana atau siapa yang perlu dominan, tetapi krisis ekonomi.

“Peningkatan inflasi ketika ini memberi impak kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Atas dasar itu, beliau menggesa Ahli Majlis Tertinggi UMNO menasihati presiden parti itu supaya tidak memberi tekanan dalam menyegerakan pilihan raya.

“Sebagai ketua parti besar orang Melayu yang berpengalaman, Presiden UMNO harus berjiwa besar bersama-sama kerajaan untuk teruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairil berkata, tujuan PAS menyokong kerajaan hari ini demi memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara dapat ditadbir dengan lebih baik berbanding Pakatan Harapan (PH).

Beliau dalam masa sama menggesa supaya tidak mengheret rakyat dalam konflik perebutan kuasa.

“Seperti mana Presiden UMNO mahu menangguhkan pemilihan parti demi perpaduan dan kestabilan UMNO begitulah juga hasrat kerajaan pada hari ini untuk meletakkan kestabilan negara sebagai keutamaan tertinggi.

“Jangan dihancurkan kepercayaan rakyat dan parti-parti lain dalam kerajaan hanya untuk menyelamatkan diri sendiri,” katanya.

“Berikan sokongan tidak bersyarat kepada YAB Perdana Menteri untuk beliau dan Kabinet beliau pulihkan negara ini dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menempelak kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan tindakan UMNO meminta agar menyegerakan PRU15 sebagai gila kuasa.

Sebaliknya dakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kenyataan Abdul Hadi itu hanya disebabkan PAS bimbang kehilangan kerusi Parlimen sekiranya PRU 15 diadakan segera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button