Dunia

Russia kesan jangkitan Omicron subvarian BA.4

Kajian dedah BA.4, BA.5 lebih mudah berjangkit dari varian asal

MOSCOW, 12 Zulkaedah 1443H, Ahad – Subvarian COVID-19 Omicron yang lebih mudah menular telah merebak di Russia, lapor Sputnik, memetik kenyataan pegawai kanan di badan pemerhati kesihatan kebangsaan Rospotrebnadzor.

Ketua penyelidikan genom di Institut Penyelidikan Pusat Epidemiologi Rospotrebnadzor, Kamil Khafizov, memberitahu pemberita bahawa dua makmal kebangsaan telah menyerahkan sampel genom virus jenis BA.4 ke pangkalan data VGARus.

“Sampel diperoleh pada akhir Mei,” kata Khafizov.

Bagaimanapun, saintis itu memaklumkan subvarian BA.2 masih menyumbang 95 peratus daripada semua kes baharu di Russia.

“Beberapa kajian yang diterbitkan baru-baru ini mendedahkan subvarian yang dikenali sebagai BA.4 dan BA.5, lebih mudah berjangkit berbanding Omicron asal,” katanya.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pada Mei bahawa Omicron BA.4 dan BA.5 mendorong peningkatan kes di negara dengan kadar pemberian vaksin rendah, meskipun subvarian BA.2 kekal dominan di seluruh dunia.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button