Berita Utama

Hina Nabi Muhammad: Kerajaan India digesa mohon maaf

Penindasan berterusan ke atas muslim di India mesti ditegah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Zulkaedah 1443H, Isnin – Walaupun sudah diberi amaran, masih ada lagi pihak biadab mencetuskan provokasi dengan mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad ﷺ.

Meski isu ini bukan perkara baharu, namun penghinaan secara berterusan yang dilakukan seolah-olah satu percubaan mencabar kesabaran, kewibawaan dan sifat orang Islam yang enggan memberi tindak balas yang mereka ‘mahukan’.

Justeru, sudah sampai masa masyarakat Islam di seluruh dunia bertindak tegas serta bertindak balas, kata Setiausaha Agung Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Amir Hamzah Abdul Rajak.

Beliau berkata, isu pemimpin parti politik di India yang menghina Nabi Muhammad ﷺ menunjukkan satu lagi kesinambungan kepada kerajaan India hari ini yang terus-menerus melancarkan serangan kepada masyarakat minoriti Islam di sana.

“Bagi pihak Iman, kami mempunyai pendirian tegas membantah sekeras-kerasnya perbuatan dua orang pemimpin parti India yang menghina Nabi Muhammad ﷺ.

“Memang agak keterlaluan dan boleh saya kata kurang ajar kerana mereka ini sedar akan natijah daripada perbuatan mereka tetapi masih lagi sengaja melakukan.

“Jadi kami membantah sekeras-kerasnya dan menuntut kerajaan Malaysia untuk menunjukkan bantahan yang sangat tegas dan jelas kepada mereka ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau juga menggesa kerajaan Malaysia memberi sepatah dua kata kepada kerajaan India dan menuntut pihak berkenaan memohon maaf secara terbuka dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi.

Selain itu, Amir menggesa apa saja yang dilakukan oleh kerajaan India terhadap kumpulan minoriti Islam ditegah secara tegas serta berterusan, bukan sahaja oleh Malaysia malah masyarakat Islam di seluruh dunia.

“Kita tidak boleh biarkan perkara ini kerana ia bukan kali pertama. Walaupun banyak amaran telah diberi, protes di sana sini, kerajaan India di bawah pimpinan Perdana Menteri yang ada sekarang ini seolah-olah langsung tidak peduli dengan tekanan yang diberikan oleh masyarakat Islam dunia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button