Berita Utama

Jangan sertai Bon Odori jika ada unsur syirik: Mufti Pahang

Lebih baik tidak perlu jika pesong akidah, berhimpun lelaki dan perempuan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 13 Zulkaedah 1443H, Isnin – Hanya individu yang kurang iman dan pengetahuan agama Islam sahaja sanggup menyertai Festival Bon Odori, yang merupakan perayaan kebudayaan masyarakat Jepun beragama Buddha.

Upacara perayaan ini lazimnya mempersembahkan tarian yang berbentuk pujaan atau dengan tujuan memperingati roh nenek moyang.

Mufti Pahang, Da­tuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, sekiranya perayaan berkenaan menjurus ke arah syirik, maka adalah berdosa kepada umat Islam yang mengunjunginya.

“Hanya mereka yang lemah iman dan kurang pengetahuan berkait hukum Islam sahaja yang menyertai sambutan mengikut kepercayaan tertentu tanpa selidik asal-usul.

“Adalah lebih baik kita sertai program-program yang memberi manfaat dan pengetahuan dalam diri seseorang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika ia sekadar sambutan biasa dan kunjungan adalah demi menghormati rakan agama lain maka ia adalah dibenarkan.

“Tetapi sekiranya sambutan berkenaan ternyata wujud unsur-unsur syirik dan boleh menjejaskan akidah apabila berhimpun tanpa batas antara lelaki dan perempuan, lebih baik tidak perlu,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila penganjuran sambutan berkenaan selepas timbul polemik susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad melarang umat Islam mengunjungi sambutan berkenaan.

Festival Bon Odori akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya tidak menyekat festival itu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, dilapor berkata, jabatan itu dititah supaya tidak menghalang mana-mana individu daripada menghadiri program berkenaan.

Justeru, Sultan Selangor menitahkan pegawai JAIS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis itu bagi melihat sendiri apa pengisian dan aktiviti festival berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button