Berita Utama

Terengganu benar ibadah korban, akikah di rumah

Solat sunat Aidiladha boleh dilaksana di masjid, surau

KUALA TERENGGANU, 13 Zulkaedah 1443H, Isnin – Umat Islam di Terengganu dibenar menjalankan ibadah korban dan akikah sempena Aidiladha di perkarangan rumah, masjid atau surau.

Ibadah itu juga boleh dilakukan di rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), rumah sembelihan swasta yang berlesen atau kawasan lapang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Mufti Terengganu, Jabatan Kesihatan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Katanya, pada tahun ini, jumlah ternakan untuk korban dan akikah di samping petugas terbabit tidak dihadkan.

“Sehubungan itu, kita minta semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan mana-mana masjid, surau atau premis yang ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dilarang membuat sebarang aktiviti sepanjang tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Shaikh Harun berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan mengeluarkan garis panduan dan SOP pelaksanaan ibadah korban dan akikah yang lengkap untuk rujukan semua pihak.

Selain itu, katanya, solat sunat Aidiladha boleh dilaksanakan di masjid atau surau mengikut SOP MAIDAM pada 20 Mac lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button