Berita Utama

Waspada! La Nina dijangka berlarutan hingga hujung tahun

Amaran ribut petir atau banjir kilat perlu dikeluarkan lebih awal

BANGI, 13 Zulkaedah 1443H, Isnin – Fenomena La Nina yang mempengaruhi curahan dan intensiti hujan ketika ini dijangka berpanjangan sehingga hujung tahun.

Pakar Meteorologi Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, fenomena tersebut dijangka berterusan sehingga hujung tahun walaupun diramalkan berakhir Ogos hingga September.

“Apabila melihat kepada keadaan Lautan Pasifik, fenomena ini bergerak perlahan tetapi dijangka bertahan sehingga akhir tahun ini.

“Oleh demikian, negara akan mengalami hujan yang berpanjangan sehingga hujung tahun.

“Keberadaan fenomena La Nina yang berkategori sederhana sejak tahun lepas hingga kini, mengubah corak suhu permukaan air di laut dan lautan sekitar negara dan rantau Asia Tenggara,” katanya.

Tegas beliau, fenomena La Nina turut menggalakkan proses perolakan udara dan pembentukan awan yang aktif sekaligus menghasilkan ribut petir serta angin lebih kencang disebabkan kekuatan angin timuran.

Keadaan tersebut tegas beliau akan menyebabkan ribut petir dan menghasilkan lebih banyak hujan yang melanda beberapa kawasan Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Justeru, beliau berharap, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) lebih kerap mengeluarkan amaran ribut petir atau banjir kilat lebih awal supaya rakyat mampu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku.

“Sebelum ini, amaran yang dikeluarkan MetMalaysia merangkumi kawasan luas iaitu Pantai Timur sedangkan banjir kilat juga kerap berlaku di kawasan lebih kecil seperti di Kedah.

“Jadi, amaran yang lebih menjurus kepada daerah perlu dikeluarkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button