Berita Utama

MPM, UPM dan MPC ganding bahu tangani krisis makanan negara

Harap inisiatif disokong pihak kerajaan dan swasta

BANGI, 13 Zulkaedah 1443H, Isnin – Krisis sekuriti makanan dalam negara perlu ditangani dengan teliti bagi mengelakkan berlarutan sekali sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Atas dasar itu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengambil tanggungjawab tersebut bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bagi menangani masalah survival rakyat dalam menghadapi krisis tersebut.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hassan Mad berkata, pihaknya bekerjasama dengan Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengadakan beberapa projek termasuk yang terbaharu dalam perikanan laut dalam yang berpangkalan di Tok Bali, Kelantan.

“Selepas mengadakan mesyuarat bersama UPM dan MPC kami bersedia untuk menyumbang kepada penyelesaian permasalahan termasuk melaksanakan beberapa projek baharu yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Turut diusahakan adalah beberapa projek ekonomi halal oleh para pemain Kluster Ekonomi Halal MPM serta beberapa projek pemula dalam bidang teknologi nano di Institut Nanosains dan Nanoteknologi UPM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hassan menambah, pihaknya bernasib baik apabila UPM yang merupakan peneraju dalam penyelidikan bersedia dan terbuka untuk membuat penyelidikan ekonomi halal menerusi Institut Penyelidikan Produk Halal UPM (IPPH UPM).

Beliau berharap inisiatif yang dilakukan dalam menangani krisis rantaian makanan disokong oleh pihak-pihak lain termasuk kerajaan dan swasta.

Malah turut berharap inisiatif tersebut turut diperakui Seri Paduka sebagai projek diraja.

Katanya, apabila Baginda memilih menyentuh isu krisis makanan sebagai kandungan utama titah ucapannya sempena hari Keputeraannya baru-baru ini, sekali gus memberikan gambaran amat jelas Baginda terlalu bimbang dengan krisis sekuriti makanan di negara ini.

“Malah, Baginda turut mengingatkan para pemimpin agar tidak sering terjebak dengan pertelagahan setiap kali berdepan dengan krisis seperti ini

“Sebaliknya wajib fokus kepada jalan penyelesaian dan mengutamakan kebajikan rakyat jelata,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button