Artikel Khas

Bon Odori: ‘Jangan kerana nama perpaduan, semua kita sapu’

Kalau nak sangat sambut, bawa sekali risalah berkaitan Islam, sebarkan pada mereka

BON Odori ini apa benda? Takkan semua perayaan orang bukan Islam kita perlu sertai atas nama perpaduan? Kita begitu bersungguh-sungguh dengan festival Bon Odori. Begitu ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu berbahasa Melayu sebagai asas interakasi dalam perpaduan, tidak pula kita bising?

Mentang-mentang ada duit, anak semua dihantar ke sekolah antarabangsa dan sekolah luar negara. Isu asas perpaduan seperti bahasa dan pendidikan berasaskan kaum langsung tak mahu komen.

Nak jadi apa dengan Malaysia ini? Daripada kepimpinan tertinggi sampai ke bawah tidak faham-faham apakah asas perpaduan? Asas perpaduan yang sangat penting dalam sesebuah negara di dunia ini, mereka disatukan melalui pendidikan (sekolah) dan bahasa, bukan Bon Odori. Sumbangan perayaan terhadap perpaduan, kecil sangat.

Mereka yang kurang ilmu mengenai ajaran, budaya orang bukan Islam, jangan komen lebih-lebih, takut tersasar. Bertanya kalau tidak tahu.

Bon Odori adalah sama seperti perayaan Qingming dalam konteks orang Cina bukan Islam Malaysia, atau perayaan cuci kubur. Upacara sembahyang dan jamuan kepada roh atau nenek moyang yang telah mati akan dilakukan.

Saya orang Cina, saya tahulah. Kenapa tidak bertanya. Mufti-mufti, kenapa diam? Kenapa tidak memberikan nasihat yang benar kepada pembesar? Jika tidak tahu tentang agama dan budaya bangsa lain, bertanya kepada orang yang tahu.

Untuk pengetahuan dalam setiap perayaan orang Cina bukan Islam ada upacara sembahan kepada nenek moyang yang telah mati. Mereka akan dijamu dengan makan kesukaan mereka dan makanan yang membawa rezeki dan kekayaan.

Kepada orang Islam, berpada-padalah jika mahu disuruh untuk pergi dan ingin turut serta. Jangan kerana atas nama perpaduan semua kita sapu.

Kita rakyat Malaysia semua faham, betapa pentingnya menjaga hubungan kaum, perpaduan dan sebagainya.

Umum mengetahui, semua makhluk dan apa jua yang ada di dunia ini adalah ciptaan Allah dan milik Allah. Begitu juga kejadian manusia yang berbilang bangsa dan budaya. Setiap bangsa mempunyai bahasa, budaya dan cara hidup tersendiri. Semuanya ini adalah kurniaan Allah SWT. Ia perlu dipelihara dan diraikan selagi tidak bercanggah dengan syarak.

Tidak ada bangsa yang lebih superior daripada bangsa lain. Justeru, jika mahu meraikan atau merayakan sesuatu budaya atau perayaan sesuatu bangsa, ianya perlu dilakukan secara berhati-hati.

Tidak dinafikan bahawa perayaan tersebut ‘boleh’ disertai jika ada tujuan dakwah. Tetapi tidak ada apa-apa tujuan, apakah tujuan meraikannya? Misalnya, perayaan cuci kubur atau Qingming.

Jika adik-beradik mengajak saya pergi bersama untuk menziarah dan mencuci kubur ibubapa, tidak menjadi masalah untuk saya selaku Cina Muslim pergi bersama mereka kerana ada ruang dakwah di situ. Saya pun selalu melakukannya bersama mereka. Mereka menyembah, saya hanya melihat.

Tetapi jika sesuatu budaya dan adat dilakukan tanpa ada apa-apa tujuan, sekadar suka-suka ziarah kubur bukan Islam, ia perlu difikirkan semula. Jika ada tujuan dakwah, memang digalakkan.

Saya juga pernah mencadangkan agar kembara motosikal melibatkan mat rempit dapat bersama-sama melakukan kerja gotong-royong di kawasan perkuburan Islam dan bukan Islam, yang berhampiran, sebagai salah satu cara berdakwah dan mengisi program merempit.

Kebiasaannya, kawasan perkuburan bukan Islam (Cina), terjaga dengan baik berbanding kawasan perkuburan orang Islam. Sudah tentu pembersihan di kawasan perkuburan bukan Islam, tidak diperlukan kerana sudah terjaga.

Tetapi jangan pergi saja-saja melakukannya tanpa apa-apa tujuan. Sebab itu, niat amat penting.

Sama juga perayaan tanglung dan kuih bulan. Setiap perayaan ini ada jamuan dan sembahyang kepada nenek moyang.

Tanglung bukan sekadar membawa lilin yang dinyalakan dalam bekas yang dibuat khas, tetapi perayaan ini ada upacara sembahyangnya, terutama kepada nenek moyang. Begitu juga dengan tanglung yang tulisan yang memuja dewa dewi penyembahan orang Cina.

Saya cadangkan kalau terlalu obsess sangat nak sambut Bon Odori, bawa sekali risalah-risalah berkaitan Islam, sebarkan kepada mereka. Nyatakan dalam risalah tersebut, apa pandangan Islam mengenai sambutan perayaan bukan Islam, boleh dan tidak boleh?

Perlu diingat, Islam tersebar dan perpaduan yang terjalin adalah dengan kemuliaan akidah dan akhlak penganutnya, bukan dengan bermain tanglung atau Bon Odori.

Menunjukkan akhlak mulia Islam, berbuat baiklah dengan keluarga dan sanak saudara setelah memeluk agama Islam tanpa menggadaikan prinsip, sudah untuk cukup memikat hati-hati mereka tanpa masuk sepenuhnya dalam perayaan mereka.

Inilah bentuk dakwah yang dilakukan oleh para anbiya, sahabat dan umat terdahulu. Mengikut teori kedatangan Islam ke Alam Melayu yang datang melalui tiga penjuru, Arab, India dan China, jelas membuktikan bahawa pendakwah-pendakwah ini tidak mengarabkan, mengindiakan atau mencina sasaran yang didakwah, tetapi mereka membawa mesej akidah dan akhlak Islam. Mereka masuk ke dalam budaya dan cara hidup tempatan, tanpa menggadai akidah.

Apakah Laksamana Cheng Ho yang datang berdagang dan berdakwah di Alam Melayu termasuk Tanah Melayu mencinakan Melayu sebelum menyampaikan Islam kepada orang Melayu. Sama juga Parameswara yang memeluk agama Islam? Apakah Parameswara mengindiakan orang Melayu sebelum mengislamkan mereka? Kenapa begitu ramai orang Melayu memeluk Islam apabila Parameswara memeluk Islam?

Jawapannya mudah, budaya Melayu adalah budaya beraja. Apa yang dilakukan oleh raja itulah yang menjadi ikutan. Justeru, apabila raja memeluk Islam, maka Melayupun mengikut raja memeluk Islam. Begitulah cepat Islam tersebar apabila pemimpinnya berakhlak dengan akhlak Islam.

Apakah hari ini kita berjaya menunjukkan akhlak Islam yang boleh dicontohi, lebih-lebih lagi apabila orang melihat kita sebagai ketua agama?

Cuba lihat negara China, hari ini, negara itu tidak lagi mengamalkan budaya raja, negara itu menjadi negara komunis.

Terkini, kerajaan komunis mengeluarkan arahan tidak membenarkan orang Islam di sana menggunakan nama Muhammad kepada bayi yang baru lahir. Apakah dengan mengcinakan Islam, komunis di sana akan memeluk Islam?

Apa yang saya ingin jelaskan di sini, Islam berkembang melalui contoh teladan baik dan perpaduan yang terjalin adalah kemurniaan akidah Islam dan akhlak Islam yang ditonjolkan sebagai asas utama dalam dakwah.

Dalam kata lain, mengislamkan Cina dan bukan Islam yang lain adalah asaskan utama dalam dakwah bukan mencinakan atau menjepunkan Islam walaupun tidak nafikan mencinakan Islam itu juga penting dalam strategi dakwah.

Sebagai Cina Muslim, saya ada menyertai ahli keluarga saya ke tanah perkuburan ketika perayaan Qingming. Tetapi saya tidak sertai perayaan mereka, saya hanya menemani mereka sahaja. Tidak ada kaitan dengan untuk menyambut perayaan tersebut. Malangnya, ada dalam kalangan kita yang terlalu over menyambut sehingga menjadi lebih Cina daripada Cina atau lebih Jepun daripada Jepun. Tidakkah ia akan menjebakkan diri kita dalam perkara yang boleh merosakkan akidah? Justeru, berpada-pada, jangan melebihi batas. Bahaya.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button