Berita Utama

Johor benar rapat saf kuat kuasa hari ini

Jemaah masih digalak bawa sejadah sendiri

BANGI, 13 Zulkaedah 1443H, Isnin – Johor membenarkan saf solat berjemaah di masjid dan surau seluruh negeri itu dirapatkan berkuat kuasa serta merta hari ini.

Bagaimanapun, setiap jemaah masih digalakkan membawa sejadah sendiri dan tidak digalakkan bersalaman, manakala pemakaian pelitup muka dikekalkan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pelaksanaan itu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

“Aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti kelas pengajian takmir, kuliah subuh, kuliah dhuha, majlis zikir dan seumpamanya juga dibenarkan, begitu juga segala aktiviti memasak dan jamuan dalam kawasan masjid serta surau termasuk aktiviti bermalam.

“Tiada pemeriksaan suhu badan dan tiada had umur jemaah hadir ke masjid dan surau, namun sekiranya mempunyai gejala adalah tidak digalakkan. Majlis perkahwinan juga dibenarkan bagi masjid dan surau yang mempunyai dewan serbaguna,” katanya.

Pada 28 Mac lalu, Johor membenarkan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah yang ketika itu diminta membawa sendiri sejadah berukuran sekurang-kurangnya satu meter panjang dan 0.6 meter lebar serta lengkap dua dos suntikan vaksin.

Program membudayakan al-Quran, kuliah umum, kuliah khas, kuliah dhuha, kuliah zuhor dan kuliah Jumaat, kelas takmir, kelas al-Quran, taklimat, kursus, forum, majlis zikir, majlis selawat, wirid dan tarikat juga dibenarkan dengan tidak melebihi tempoh dua jam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button