Berita Utama

Pemuda UMNO dakwa PAS fobia PRU, takut hilang kuasa

‘Tak perlu sibuk campur urusan nakhoda kapal lain sedangkan kapal kamu sendiri sudah sesat haluan’

BANGI, 13 Zulkaedah 1443H, Isnin – Pemuda UMNO secara sinis mendakwa tindakan beberapa pemimpin PAS menyerang kepemimpinan UMNO menunjukkan pihak itu fobia pada Pilihan Raya Umum (PRU) kerana memikirkan nasib masing-masing yang semakin hampir untuk kehilangan kuasa.

Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pihak itu akhir-akhir ini secara berjemaah menyerang kepimpinan UMNO semata-mata mahu menentang suara UMNO yang mahu diadakan PRU tahun ini.

Antaranya, kenyataan Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin yang mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi ‘bisu politik’ dan meminta Ahli Majlis Tertinggi UMNO menasihati Presiden UMNO itu supaya berhenti bercakap mengenai PRU yang jelas satu campur tangan terhadap urusan UMNO.

Beliau berkata, kenyataan Khairil Nizam itu difahami sebagai membela kecaman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa UMNO mahu PRU diadakan segera kerana ada kaitan dengan kes mahkamah yang dihadapi beberapa pemimpin UMNO.

“Jelas dari suara dua pemimpin PAS ini, mereka fobia PRU kerana menyedari saat hilang jawatan, hilang keistimewaan sebagai Menteri, Menteri Besar, yang semakin hampir.

“Kalau boleh mereka mahu memberhentikan waktu, supaya tarikh tamat penggal sekarang iaitu pada pertengahan tahun hadapan tidak tiba.

“Begini sajalah PAS sekiranya takut kalah, jangan bertanding pilihan raya. Jadi sahaja parti kuat ceramah sambil mengedar tong derma kerana ia lebih menguntungkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Syed Mohd Johan Rizal menyifatkan PAS sudah melampaui batas adab dalam berkawan dan adab dalam berselisih pendapat apabila menyerang Presiden UMNO secara berkala, seolah-olah adanya satu gerakan terancang pelbagai pihak.

“Ini parti kami, kami pandailah mengurus sendiri tanpa perlu orang luar memberitahu apa yang perlu dilakukan.

“Tidak perlu sibuk mencampuri urusan nakhoda kapal lain sedangkan kapal kamu sendiri sudah sesat haluan.

“Adalah lebih baik kamu nasihatkan Pengerusi PN yang bersungguh-sunguh mahukan jajaran baharu dengan DAP. Atau mungkin ada fatwa baharu daripada ‘Tok Guru’ untuk menghalalkan kerjasama terbaharu dengan DAP?,” katanya secara sinis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button