Pesuruhjaya SUHAKAM baharu perlu berjiwa Islam: PEMBELA
Khuatir jawatan dijadikan 'habuan' politik di belakang tabir

BANGI, 13 Zulkaedah 1443H, Isnin – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mendesak kerajaan melantik Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) baharu daripada kalangan tokoh berjiwa Islam dan bukan liberal.
Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya memandang serius tekanan Ahli Parlimen DAP dan Pakatan Harapan (PH) terhadap kekosongan jawatan Pesuruhjaya SUHAKAM yang telah tamat tempoh perkhidmatan.
“PEMBELA tidak menolak kemungkinan berlakunya lobi-melobi di belakang tabir antara kem-kem politik sama ada dari kalangan blok kerajaan mahupun pembangkang yang ingin memposisikan tokoh-tokoh tertentu.
“PEMBELA khuatir sekiranya jawatan ini dijadikan ‘habuan’ untuk sebarang rundingan di belakang tabir kepada mana-mana blok demi mengekalkan kestabilan kerajaan sedia ada mahupun menubuhkan kerajaan baharu.
“Perlu diingatkan perjanjian kerajaan-pembangkang sudah hampir tamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, umum mengetahui rata-rata blok politik ada terselit tokoh yang ‘menganuti’ ideologi liberal Barat – yang mempunyai tafsiran terhadap hak asasi manusia yang menyeleweng.
Maka dengan itu, katanya, menjadikan jawatan itu sebagai ‘habuan’ politik adalah sangat berbahaya sehingga boleh merosakkan negara.
“Oleh itu, PEMBELA mendesak agar kerajaan memandang serius akan pelantikan pesuruhjaya-pesuruhjaya SUHAKAM yang baharu ini agar dipilih dari kalangan mereka yang benar-benar layak, berintegriti.
“Dan paling penting mempunyai jati diri serta berpegang kepada kefahaman Malaysia sebagai negara Islam yang berdaulat dari sebarang ideologi songsang luar,” katanya.
Sebelum ini, beberapa wakil rakyat pembangkang mendakwa, kelewatan kerajaan melantik Pesuruhjaya SUHAKAM jelas menunjukkan Putrajaya kurang minat dalam isu hak asasi manusia.
Mereka berkata, tindakan Putrajaya yang lambat mengisi jawatan kosong berkenaan tidak boleh diterima.