Berita Utama

‘Tiada istilah gentar, PAS dah biasa kalah PRU’

UMNO patutnya khuatir hilang kerusi Parlimen, bidas PAS Perak

BANGI, 14 Zulkaedah 1443H, Selasa – PAS Perak menyelar kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menuduh parti itu khuatir kehilangan kerusi, sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria secara tegas berpandangan, tiada istilah takut hilang kerusi bagi parti berkenaan kerana parti itu telah banyak kali melalui fasa tewas dalam PRU sebelum ini.

Melihat situasi semasa hari ini, beliau berkata, UMNO yang sepatutnya perlu rasa gentar kehilangan kerusi Parlimen.

“Isu takut hilang kerusi itu tak sepatutnya timbul kerana PAS memang sudah biasa kalah.

“UMNO yang sepatutnya perlu rasa khuatir sebab sekarang ini kerajaan di bawah pentadbiran pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN), kita ini (PAS) hanya mencukupkan dan melengkapkan,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menempelak kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa parti yang bertegas tidak mengadakan PRU15 dalam masa terdekat adalah kumpulan yang kemaruk kuasa.

Razman menegaskan, UMNO yang mempunyai 40 kerusi Parlimen sepatutnya berkuasa untuk membubarkan Parlimen seperti yang pernah dilakukan di Melaka dan Johor sebelum.

Malah, beliau turut mempersoalkan parti itu kerana mahu menyalahkan PAS yang hanya mempunyai 18 kerusi Parlimen.

“Jadi kenapa bila nak bubar Pusat, nak salahkan PAS yang ada 18 kerusi ni, bubarlah kalau berani,” katanya.

Razman menyatakan pendirian bahawa PAS tidak bersetuju mengadakan PRU15 dalam tempoh terdekat bukanlah disebabkan gentar atau tidak bersedia, tetapi demi kepentingan rakyat yang terbeban dengan pelbagai isu ekonomi serta bekalan makanan.

“Pendirian PAS untuk selesaikan dulu masalah rakyat, tergesa-gesa nak adakan PRU itu bukanlah satu keperluan lagi,” katanya.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, isu kenaikan harga, bekalan makanan yang terjejas serta krisis eksport dan import negara, itu perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button