Berita Utama

Jasa Tun Arshad naik taraf pembelajaran orang Melayu terlalu besar: PEMBELA

Ratusan ribu anak Melayu profesional dilahirkan melalui UiTM

BANGI, 14 Zulkaedah 1443H, Selasa – Jasa tokoh pendidikan negara, Tun Arshad Dr Ayub dalam menaikkan taraf pembelajaran orang Melayu begitu besar dan akan dikenang selamanya.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, sehingga kini ratusan ribu anak Melayu profesional telah dilahirkan dalam pelbagai bidang melalui Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat negara terutama orang Melayu dan amat sukar dicari ganti.

“Allahyarham Tun Arsyad dikenali sebagai seorang pejuang bangsa Melayu didalam bidang Pendidikan dan merupakan pengasas kepada UiTM yang wujud pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, PEMBELA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Dr Arshad Ayub yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan dimasukkan dalam kalangan orang-orang yang soleh,” katanya.

Dr Arshad, 93, disahkan meninggal dunia pada jam 2.06 pagi tadi selepas menerima rawatan di hospital.

Sejak Selasa lepas, Allahyarham dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana masalah kesihatan.

Sepanjang hayatnya, Dr Arshad menabur bakti di UiTM seterusnya dilantik sebagai Pro-Canselor setelah bersara daripada perkhidmatan awam selepas berkhidmat selama 32 tahun.

Anak kelahiran Muar, Johor itu juga dilantik sebagai Canselor Universiti Antarabangsa INTI yang pertama pada 2013 dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button