Berita Utama

Johor kaji semula ketetapan cuti hujung minggu

Dengar keluhan rakyat mengenai beza cuti sektor kerajaan, swasta

BANGI, 14 Zulkaedah 1443H, Selasa – Johor akan mengkaji semula penetapan cuti hujung minggu di negeri berkenaan yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kajian itu dibuat susulan terdapat keluhan penduduk mengenai perbezaan hari cuti bagi sektor swasta dan kerajaan.

Justeru katanya, kajian semula itu bagi memastikan ibu bapa dan anak dapat berehat pada hari sama.

“Mendengar keluhan rakyat mengenai cuti hujung minggu yang berbeza untuk kerajaan dan pihak swasta.

“Kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara ini agar ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari sama,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Onn Hafiz berkata, perkara berkenaan akan diumumkan kepada rakyat selepas mendapat keputusan yang sesuai.

Tegas beliau, kerajaan negeri serius mahu mengubah budaya kerja dengan meningkatkan keberkesanan, keseragaman dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam supaya pelabur lebih tertarik untuk datang melabur di Johor.

Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pertukaran cuti minggu negeri Johor kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuat kuasa 1 Januari 2014.

Keputusan tersebut dibuat selaras dengan negeri Johor yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi dan dibuat bagi memudahkan golongan lelaki beragama Islam menunaikan solat Jumaat dalam keadaan sempurna dan tidak tergesa-gesa.

Johor pernah menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu sebelum tahun 1994.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button