Berita Utama

Kalimah Allah: Kerajaan perlu lebih sensitif isu akidah umat Islam

Adakah wajar korbankan kefahaman masyarakat muslim?

BANGI, 8 Zulkaedah 1444H, Ahad – Isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam tidak boleh dianggap perkara remeh kerana ia membabitkan akidah umat Islam.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM, Dr Zizi Azlinda Mohd Yusof berkata, kalimah Allah membawa 1001 makna yang sangat penting bagi menjaga akidah umat Islam di Malaysia.

Menulis di Berita Harian, beliau mempersoalkan tindakan pihak kerajaan yang seakan-akan mengambil ringan sensitiviti umat Islam demi ideologi perpaduan kaum di dalam negara.

“Demi untuk memperkukuhkan ideologi perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia, adakah wajar mengorbankan kefahaman masyarakat Muslim terhadap kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat di Malaysia tercinta ini?

“Tambahan pula, tiada istilah doktrin pluralisme dibenarkan dalam Islam. Situasi di Malaysia, agama Islam dilindungi undang-undang dan fatwa yang diwartakan.

“Meskipun, pada zahirnya mungkin isu kalimah Allah kelihatan seperti terkait dengan isu alih bahasa sahaja, iaitu ‘God’ dalam bahasa Inggeris, manakala Tuhan dalam bahasa Melayu, namun, kalimah Allah ini berakar umbi dengan sebati dalam kepercayaan umat Islam di Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberikan beberapa contoh kaedah yang digunakan oleh tokoh-tokoh Islam untuk menganalisis isu ini.

“Ulama Islam, Hasan al-Banna berkata dalam kitabnya, ‘Usul Isyrin’ – “Keputusan kepemimpinan dalam organisasi wajib dilaksanakan dalam perkara maslahah, yang tiada nas dan tidak bertembung dengan kaedah syarak dan adakala ia bergantung kepada ‘uruf’ ataupun adat masyarakat setempat”.

“Menurut Imam Ghazali, ‘maslahah menurut makna asalnya bermaksud menarik manfaat atau menolak mudarat’.

“Jika dikatakan dengan kebenaran menggunakan kalimah Allah ini untuk maslahah menjaga perpaduan negara dan keharmonian antara semua agama di Malaysia, maka sekali lagi lihat dengan mata hati dan panduan akal,” katanya.

Terdahulu, KDN dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 18 April lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button