NAFAS, ANGKASA mampu bantu tangani isu harga ayam, bekalan makanan
Sudah kenal pasti 16,140 hektar tanah untuk tanaman jagung bijirin

BANGI, 14 Zulkaedah 1443H, Selasa – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah mengenalpasti 16,140 hektar tanah untuk dijadikan tanaman jagung bijirin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif tersebut adalah untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah bagi makanan ayam.
Katanya, NAFAS telah mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu sesuai untuk digunakan untuk tanaman jagung bijirin yang sebelum ini digunakan dengan tanaman tembakau.
“ANGKASA juga telah mengenalpasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
“Setiap hektar mampu mengeluarkan lima tan jagung bijirin dan menampung sebanyak 20 peratus daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, NAFAS dan ANGKASA juga akan terlibat dalam ekosistem industri ayam secara menyeluruh.
NAFAS turut menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala ANGKASA sebanyak 30 juta ekor setahun.
“Saya yakin NAFAS dan ANGKASA berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan.
“Ini kerana NAFAS mempunyai seramai satu juta ahli, manakala tujuh juta ahli bernaung di bawah ANGKASA melalui 14,835 koperasi,” katanya.