Berita UtamaDunia

Rakyat Palestin desak Israel tamatkan dasar penahanan pentadbiran

4,700 rakyat Palestin ditahan di penjara Israel

GAZA, 14 Zulkaedah 1443H, Selasa – Rakyat Palestin mengadakan perhimpunan di Semenanjung Gaza bagi menuntut negara pengganas Israel menamatkan dasar kontroversi penahanan pentadbiran rejim itu.

Peserta perhimpunan menunjukkan gambar warga Palestin yang ditahan di bawah alasan pentadbiran tanpa perbicaraan atau pertuduhan, ketika protes di luar pejabat Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Bandar Gaza.

Dalam perhimpunan yang diadakan pada Isnin itu, mereka mendesak masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada Israel bagi menamatkan penahanan pentadbiran rakyat Palestin.

Dasar penahanan pentadbiran membenarkan pihak berkuasa Israel melanjutkan penahanan seseorang banduan tanpa tuduhan atau perbicaraan.

Dua rakyat Palestin – Khalil Awawdeh dan Raed Rayan – telah melakukan mogok lapar masing-masing selama 103 dan 68 hari sebagai membantah penahanan mereka tanpa bicara.

“Kami merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk segera campur tangan bagi menyelamatkan nyawa tahanan, terutamanya banduan yang mogok lapar,” kata penyelaras jawatankuasa banduan tempatan, Zaki Dababesh.

Beliau mengutuk tindakan berdiam diri pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa terhadap pencabulan hak tahanan di penjara Israel.

Menurut anggaran Palestin, terdapat 4,700 rakyat Palestin ditahan di kemudahan tahanan Israel, termasuk 32 wanita, 170 bawah umur dan hampir 640 ditahan di bawah dasar penahanan pentadbiran Israel tanpa tuduhan atau perbicaraan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button