Berita Utama

ICU disaran jadi peneraju tangani isu keselamatan makanan

MPM pelawa kerjasama, sedia bantu kongsi pandangan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 15 Zulkaedah 1443H, Rabu – Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyarankan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri tampil menjadi peneraju kepada kerajaan dalam usaha menangani krisis makanan di negara ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Hassan Mad berkata, ICU perlu berperanan mengadakan meja bulat selain layak menghimpunkan semua kelompok pemegang taruh yang berkait dengan isu keselamatan makanan, terutama pemimpin politik, kementerian, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Peranan ICU dilihat penting berikutan mempunyai peranan tersendiri yang mampu menyelaraskan untuk selaraskan semua pihak terkait dengan agenda sekuriti makanan ini.

“Terlalu banyak kementerian, agensi awam, korporat dan swasta terlibat, hatta cabaran utama dihadapi kerajaan ketika ini ialah kemampuannya menyelaras dan memperbaiki sistem penyampaian yang terlalu kerap dikeluhkan rakyat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, wakil pemain industri yang lama dalam industri makanan adalah pihak paling utama dan wajib dilibatkan, meskipun sebagai pemain kerdil.

Datuk Dr Hassan berkata, suara dan pandangan mereka wajib didengar.

“Mungkin saya sudah ketinggalan zaman memahami peranan tiga agensi pusat ini, EPU, ICU dan SERU (telah dibubarkan) kerana diawal era perlaksanaan Dasar Ekonomi Baharu 1970 dulu, tiga agensi pusat yang berperanan sebagai nadi utama dan jentera penggerak kepada Perdana Menteri.

“EPU juga merancang, ICU menyelaras pelaksanaan dan SERU jalankan kajian impak terhadap apa yang dilaksanakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, ICU juga disaran supaya turun padang dan lihat sendiri isu dan cabaran pemain industri serta agensi yang sering berdamping dengan mereka.

“ICU, perlu mengawalselia atau memperkasakan semua agensi penguatkuasa bagi memastikan aktiviti kartel yang terlibat terkawal.

“Tak guna kita berbicara mengenai impak krisis makanan kepada pengguna, revisit dasar sekuriti makanan atau sebagainya, jika isu seperti kawalan terhadap aktiviti kartel ini yang turut pengaruhi proses pemindahan harga barangan (price transfer process), masih gagal dikawal,” katanya.

Datuk Dr Hassan berkata, MPM sebelum ini telah mengadakan dialog sekuriti makanan tahun lepas.

Malah, pasukan Petugas MPM-UPM telah ditubuhkan dan bersedia dengan syor untuk dikemukakan kepada kerajaan.

“Sekiranya ICU, serius hendak tangani isu ini, ketuklah pintu pejabat kami, InsyaAllah berduyun-duyun pemain industri yang berkaitan (yang bernaung dibawah beberapa NGO), tampil berjihad dan berkongsi pandangan bergandingan menangani krisis ini.

“Krisis ini perlu dilihat sebagai kesempatan untuk semua kelompok pemegang-taruh, bertanggung-jawab dan berperanan secara bersama, saksama dan setara, dalam berjihad menjayakan sesuatu agenda kepentingan nasional,” katanya.

Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biarlah ke pangkal lengan, sama seperti menangani krisis sekuriti makanan, ambillah kesempatan ini untuk bina semula  dan islahkan sektor ini menjadi sektor ekonomi baru, paling moden.

Bukan sahaja mengadaptasi semua peruntukan terkandung dalam Industrial Revolution 4.0.  sebaliknya kembalikan sektor makanan menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button