Berita Utama

Krisis dalaman UMNO beri peluang PN menang PRU15

Guna kaedah serampang dua mata tarik sokongan

BANGI, 15 Zulkaedah 1443H, Rabu – Perpecahan dalam UMNO bakal melemahkan Barisan Nasional (BN) dan membuka ruang Perikatan Nasional (PN) sebagai alternatif untuk dipilih rakyat.

Hal ini kerana PN adalah sebahagian daripada kerajaan kini, maka kelemahan kepada BN yang mengetuai kerajaan kini dilihat sebagai kekuatan kepada PN, kata Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Bagaimanpun katanya, PN harus mempunyai satu matlamat masa depan politik boleh diyakini rakyat.

Perkara ini perlu kerana PN adalah parti gabungan baharu memerlukan masa untuk rakyat faham agendanya dan memberi sokongan.

“Satu perkara ketara ialah anggota PN mempunyai mimpi politik berbeza. Bersatu jelas mahu menjadi alternatif kepada UMNO dan cuba menguasai politik nasional.

“Namun, parti komponen lain lebih memfokuskan kepada agenda menguasai negeri sedang dan pernah mereka kuasai. PAS sebenarnya lebih memikirkan untuk kekalkan kuasa di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

“Bagi PAS, kerjasama melalui PN sudah cukup untuk mereka mengekalkan kuasa di tiga negeri terbabit. Gerakan adalah parti pernah menguasai Pulau Pinang yang menjadi idaman mereka. STAR dan SUPP lebih memikirkan untuk terus menguasai Sabah,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Azizuddin berkata, beliau tidak menolak hakikat kemenangan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti banyak bergantung kepada kelemahan parti lawan khususnya BN.

Katanya, PN menyedari UMNO sedang berhadapan dengan krisis dalaman yang mana Perdana Menteri mahukan pilihan raya umum dilewatkan ke tahun hadapan.

Namun, Presiden UMNO dan sebahagian besar kepemimpinan utama UMNO dan BN mahukan PRU15 disegerakan kerana peluang untuk menang lebih baik kali ini ketika pembangkang masih lemah dan tidak bersatu.

“Secara realitinya, PN menggunakan kaedah serampang dua mata. Sekarang mereka sedang cuba membina kekuatan dengan menarik sokongan parti pembangkang lain menyertai mereka, di samping melemahkan UMNO dan BN dari dalam.

“Kelemahan BN adalah kekuatan PN. Sekiranya strategi ini mengena, PN mampu memberikan cabaran kuat kepada BN bagi memenangi PRU15 akan datang. Apa yang Muhyiddin sedang lakukan adalah untuk mengubah dinamik politik bagi menyebelahi PN.

“PAS sebagai rakan sekutu PN dilihat berperanan besar bagi memastikan strategi PN ini berjaya khususnya dalam proses melemahkan UMNO,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya PN diyakini rakyat dan strategi politik berkesan, gabungan itu mampu memberikan cabaran besar dan kejutan kepada politik negara.

“Hanya masa menentukan kejayaan atau kegagalan PN ini,” katanya.

Pautan artikel;
https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/06/966100/pn-perlu-formula-baharu-cari-kekuatan-dalaman-hadapi-pru-15

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button