Berita Utama

PEMBELA rayu siasat dalang warga asing sokong hina Nabi Muhammad ﷺ

Kenal pasti sama ada mereka anggotai mana-mana NGO atau parti politik

BANGI, 15 Zulkaedah 1443H, Rabu – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya meluahkan kebimbangan mengenai video tular yang memaparkan sekumpulan lelaki warga asing menyokong tindakan ahli politik India menghina Nabi Muhammad ﷺ.

Serentak itu, beliau merayu kerajaan menyiasat dan mengenal pasti dengan serius sama ada mereka itu menganggotai atau didukungi mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik.

Tindakan terus perlu diambil terhadap mana-mana NGO atau parti politik yang ada kaitan atau cenderung kepada pihak ekstremis India ini mahupun simpatisannya.

Bahkan, beliau menggesa kerajaan mengkaji jumlah ataupun segmen masyarakat yang menjadi simpatisan kepada ideologi mereka ini.

“Inilah yang saya cakap sebelum ini dan yang saya selalu tekankan tetapi diambil mudah sahaja oleh pihak berkuasa.

“Anasir-anasir ekstrem dari negara India sudah masuk dan mula bertapak kuat di Malaysia yang mana Islamophobia menjadi antara asas perjuangan. Lebih-lebih lagi Islamophobia sedang subur di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berpendapat bahawa Islamophobia di Malaysia sedang semakin meningkat dan sebenarnya menunggu masa sahaja untuk meletus menjadi lebih teruk.

“Memandangkan video individu-individu yang tular ini berlatar belakangkan sebuah kuil tersohor di Malaysia, maka kita berharap pihak pengelola dapat mengambil tindakan sewajarnya seperti kenyataan kecaman atau kekesalan.

“Kita harap dan tidak mahu mana-mana tempat ibadah mana-mana agama di Malaysia terpalit dengan gejala Islamophobia apatah lagi ekstremisme dari negara luar.

“Ayuhlah Malaysia, kita bersolidariti membantah keceluparan ini,” katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai warga asing berkumpul di hadapan kuil Batu Caves dan menyatakan pendirian menyokong tindakan Nupur Sharma, ahli politik dari parti Bharatiya Janata yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan polis berkaitan rakaman video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok menggunakan nama @ganggarammahto280 itu.

Katanya, rakaman video berdurasi satu minit 18 saat itu turut dikesan tular melalui aplikasi media sosial lain seperti Facebook dan WhatsApp.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button