Berita Utama

12,140 hektar kawasan dikenalpasti untuk tanaman jagung bijirin

20 peratus penguasaan pasaran ayam disasar melalui 144 juta ekor setahun

BANGI, 16 Zulkaedah 1443H, Khamis – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah mengenalpasti kawasan seluas 12,140 hektar yang boleh digunakan semula bagi dijadikan tanaman jagung bijirin.

Usaha berkenaan selaras dengan komitmen NAFAS untuk membantu merealisasikan usaha dalam mengurangkan kebergantungan import jagung bijirin yang merupakan bahan mentah kepada penghasilan makanan ternakan.

“NAFAS komited untuk terlibat dalam rantaian industri ternakan ayam selari saranan kerajaan yang menggesa kerjasama awam dan swasta diperkukuhkan bagi tingkatkan hasil pertanian khusus industri ternakan ayam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, sebanyak 20 peratus disasarkan NAFAS untuk menguasai pasaran ayam dengan pengeluaran 144 juta ekor setahun.

Situasi berkenaan sekaligus dapat memastikan harga ayam di pasaran kekal relatif dan stabil, katanya.

“Penglibatan NAFAS dalam rantaian nilai industri ayam ini akan dilaksanakan melalui pemerkasaan rangkaian Pertubuhan Peladang bermula dengan NAFAS di peringkat induk dan seterusnya struktur pergerakan Pertubuhan Peladang (PP) tiga peringkat terdiri daripada 14 PPN di peringkat negeri,” katanya.

Selain itu, 279 PPK di peringkat kawasan dan hampir satu juta ahli peladang di seluruh negara.

Katanya, langkah berkenaan dalam masa sama diyakini mampu mewujudkan peluang pekerjaan yang baharu dan meningkatkan aktiviti ekonomi di sekitar kawasan yang terlibat, sekaligus meningkatkan hasil pendapatan bagi penduduk setempat.

Buat masa ini, Malaysia mengimport hampir 100 peratus jagung bijian atau kira-kira dua juta tan setahun dari negara seperti Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS).

“NAFAS yakin menerusi rangkaian Pertubuhan Peladang dan sokongan pelbagai pihak yang berkepentingan, usaha merealisasikan projek tanaman jagung bijian bagi makanan ternakan dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Malah, program yang berskala besar itu diyakini dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import jagung bijian yang sangat tinggi bagi kegunaan penghasilan makanan ternakan dan seterusnya dapat menstabilkan harga pasaran ayam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button