Berita Utama

Mahkamah tolak permohonan MAIPs mencelah kes cerai Loh

Gagal tunjuk berkepentingan, MAIPs diperintah bayar kos RM8,000

BANGI, 16 Zulkaedah 1443H, Khamis – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mencelah dalam kes penceraian Loh Siew Hong yang turut membincangkan isu penjagaan tiga anak yang telah memeluk agama Islam.

Hakim YA Evol Mariette Petter membuat keputusan selepas mendapati MAIPs gagal menunjukkan mereka adalah pihak berkepentingan dalam hidup kanak-kanak terbabit dan memerintahkan MAIPs agar membayar kos RM8,000 kepada Loh.

“Mereka bukan yatim piatu. Mereka juga bukan milik komuniti di Perlis.

“Mereka menetap di Selangor dan hanya ke Perlis untuk menukar agama,” katanya.

Dalam penghakimannya, Peters berkata, MAIPs juga masih tidak akan dibenarkan mencelah kerana ia hanya mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam di Perlis, meskipun penukaran agama kanak-kanak terbabit dilakukan dengan sempurna.

Beliau berkata, peranan keluarga dalam melindungi anak-anak boleh dilihat daripada analogi menjemput tetamu datang ke rumah.

“Permohonan untuk mendapatkan kebenaran mencelah dalam prosiding perceraian Loh adalah seperti meminta kepada mahkamah agar MAIPs dijemput sebagai tetamu untuk makan malam bagi memasuki rumah dan akhirnya duduk menikmati hidangan bersama keluarga itu.

“Tuan rumah di sini ialah mahkamah dan ia perlu berhati-hati dengan tetamu yang dijemput kerana terdapat kanak-kanak di dalam rumah yang perlu dilindungi.

“Jika tetamu tidak berada dalam senarai maka adalah lebih baik untuk tidak membenarkan mereka masuk kerana ia hanya akan membuang masa mereka dan tuan rumah,” katanya.

Pada 7 Mac lalu,(MAIPs) memfailkan permohonan untuk mencelah petisyen perceraian di antara Loh Siew Hong dengan bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy yang kini memeluk Islam bersama tiga anak mereka.

Permohonan MAIPs tersebut telah difailkan melalui Tetuan Chamber of Zainul Rijal.

Peguamnya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, permohonan berkenaan dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang bertujuan supaya MAIPs mempunyai local standi untuk membuat permohonan variasi ke atas terma-terma perintah jagaan tunggal tersebut.

Pautan terdahulu;

MAIPs fail permohonan mencelah petisyen perceraian Loh Siew Hong

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button