Pendapat

Ayuh wanita! Bebaskan diri daripada jadi hamba material

Bersederhanalah mengubati kelesuan pandemik dengan meraikan budaya konsumer

KALAU kita menyoroti sejarah manusia di dalam al-Quran, kita akan jumpa kesesatan akan mula melanda umat apabila berada di kemuncak ketamadunan. Kaum Thamud, dan kaum Aad, diceritakan mempunyai kekuatan material, fizikal dan mental, namun memilih untuk tetap mengingkari Nabi mereka. Lalu Allah turunkan azab dan menghapuskan mereka dari bumi ini sehingga yang tinggal hanyalah tinggalan mereka untuk disaksikan umat yang akan datang .

Nabi yang terakhir telah meninggalkan kita lebih kurang 1,500 tahun yang terdahulu. Sebagai umat akhir zaman, tiada lagi nabi yang akan mengingatkan kita tentang dekatnya azab. Namun Rasulullah ﷺ banyak meninggalkan pesan di dalam hadisnya tentang tuanya bumi dan dekatnya hari akhirat.

Kita kini berada di kemuncak ketamadunan, seluruh dunia bercakap tentang the affluent society dan dengan itu ia hadir bersama cabaran yang sama dilalui tamadun terdahulu.

“The largest growing economic force in the world isn’t China or India — it’s women. The earning power of women globally is expected to reach $18 trillion by 2014 — a $5 trillion rise for current income, according to World Bank estimates. That is more than twice the estimated 2014 GDP of China and India combined” (Voigt 2009)

Sejak para wanita mula bekerja, kapitalis telah mengenal pasti kedudukan wanita bukan sekadar sebagai pembeli, tetapi juga sebagai tukang pengaruh terhadap hampir 80% keputusan pembelian (consumer decisions). Oleh itu para wanita juga sering menjadi mangsa

Wanita di Malaysia juga tidak ketinggalan. Pada 2017 sahaja, penggunaan kad kredit wanita Malaysia telah berganda sebanyak 125% berbanding lima tahun sebelumnya, berbanding hanya 71% di kalangan lelaki! Bermakna para wanita, semakin ramai yang bekerjaya dan membelanjakan wang, bukan sekadar untuk barangan asasi seperti makanan dan pakaian semata-mata tetapi juga barang-barang bukan asasi.

Hadis Nabi pula ada menyatakan “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim). Dan Imam Qurthubi pula menerangkan hadis ini lebih lanjut dengan menyatakan “Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecondongan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal. Kemudian mereka juga sebab yang paling kuat untuk memalingkan kaum lelaki dari akhirat disebabkan adanya hawa nafsu dalam diri mereka, kebanyakan dari mereka memalingkan diri mereka dan selain mereka dari akhirat, cepat tertipu jika diajak kepada penyelewengan terhadap agama dan sulit menerima jika diajak kepada akhirat.” (Jahannam Ahwaluha wa Ahluha halaman 29-30 dan At Tazkirah halaman 369)

Sebagai wanita, kita perlu mempunyai kesedaran yang kuat tentang perkara ini. Setiap umpan pembelian yang dihalakan kepada kita adalah sebahagian budaya konsumer yang diajukan para kapitalis yang sedar tentang kelemahan kita. Baik tudung yang terbaru, baju yang cantik, perhiasan rumah dan perkakas dapur yang menyenangkan kerja dan mata dan makanan yang enak-enak buat sajian keluarga. Kesemuanya jika dibiarkan berlebih-lebihan boleh menjauhkan kita dari kesederhanaan.

Budaya konsumer, tidak membawa kepada kebahagiaan. Di dalam buku American mania: When more is not enough, tulisan seorang ahli psikiatri Peter C. Whybrow, beliau menulis tentang betapa keinginan kita untuk mencari kesenangan dunia dan kemudahan dalam cara hidup telah membawa kepada sifat tamak haloba dan terhakisnya empati akibat mahu menjaga self-interest. Seterusnya meningkatkan perasaan tidak puas (dissatisfacion) lalu menghasilkan segala penyakit-penyakit berkait stress seperti ulser, kemurungan dan penyakit darah tinggi. Dan di penghujung buku beliau, beliau membawa kita semua kepada kesimpulan yang dapat diagak. Kunci bahagia ada pada kesederhanaan. Dan kesederhanaan hanya dapat dicapai dengan mujahadah melawan nafsu, “self-constraint”.

Namun demikian hidup di zaman serba serbi material, di manakah kesederhanaan? Ketuklah hati dan tanyalah neraca iman. Jika neraca tersebut tumpul dan tidak memberi jawapan, asahlah dengan amalan dan introspection yang mendekatkan kita kepada Allah.

Kemerdekaan ini, dengan penuh rasa keinsafan saya ingin menyeru diri saya sendiri dan semua para wanita untuk berusaha sebaik mungkin membebaskan diri dari cengkaman material. Tinggal di rumah semasa pandemik janganlah menjadikan kita seorang pembeli yang saban waktu dihidangkan pembelian dari Shopee, Go Shop dan sambil tu tangan sedang scroll makanan viral terbaru. Wabak mungkin membawa cabarannya yang tersendiri, namun bersederhanalah kita mengubati kelesuan pandemik dengan meraikan budaya konsumer. Sebuah kajian pada Jun 2020, menunjukkan keupayaan membeli kebanyakan penduduk Malaysia tidak menunjukkan trend penurunan walaupun dengan pengecutan kos sewaktu pandemik dan penurunan gaji. Kita benar-benar the affluent society walaupun kita mungkin tidak sepenuhnya mengakui.

Kelesuan pandemik diakui membawa kepada stress yang tidak pernah dihadapi sebelum ini oleh kebanyakan orang. Untuk mengubatinya kita disarankan mencari distractions. Cadangan lain dalam menghilangkan stress mungkin termasuk berinteraksi dengan jiran, sahabat handai atau ahli keluarga secara fizikal, dengan penuhi SOP. Terutama apabila telah lengkap divaksinkan. Kesunyian yang lahir dari kurangnya interaksi sering kali hanya dapat diubati dengan interaksi jua. Kita juga boleh mengambil kesempatan PKP untuk mempelajari ilmu yang baru; contonhnya bahasa baru, mempelajari kemahiran baru seperti melukis, menjahit, membaiki barang elektrik, kemahiran menggunakan teknologi dan sebagainya. Kajian di serata dunia menunjukkan meningkatnya mereka yang melanggan kelas kemahiran atas talian sewaktu dunia melalui tempoh kuarantin.

Bagaimanapun jika pembelian tetap perlu, pengauditan perlu dibuat. Pertamanya kita perlu mengukur belanja bukan asasi kita berdasarkan pendapatan bagi mengelakkan pemborosan dan pembaziran, terutama di zaman ekonomi meleset ini. Selain itu, kita juga perlu menyemak adakah pembelian tersebut akan mendekatkan kita atau menjauhkan kita daripada menjadi muslimah yang lebih baik.

Akhirnya, dalam kita mencari senang tinggalkan sedikit kesusahan buat latihan jiwa. Jangan biarkan diri menjadi mangsa kapitalis tanpa kita sedari. Rasulullah ﷺ bersabda:

لَا يُلْدَغُ المُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ.
“Tidak sepatutnya seorang yang beriman, disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang (yang sama).” (Riwayat al-Bukhari 6133 dan Muslim 63)

Semoga Allah tidak jemu memberi kita hidayah dan tidak meninggalkan kita sama ada di waktu susah ataupun senang.

Dr Siti Nurhayati Adznan
Ketua Wanita Cawangan ISMA Alor Gajah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button