Disney giat promosi homoseksualiti, LPF digesa berhati-hati
Pendirian Malaysia konsisten tolak unsur LGBT dalam filem

BANGI, 16 Zulkaedah 1443H, Khamis – Dewan Ulama PAS Pusat menggesa Lembaga Penapis Filem (LPF) bertegas dan tidak berkompromi terhadap filem-filem tempatan mahupun antarabangsa yang berusaha menormalisasi unsur lesbian, gay, biseksual, transgender, pelik (LGBTQ) dalam karya masing-masing.
Ketuanya, Senator Ustaz Datuk Ahmad Yahya berkata, pendirian Malaysia untuk tidak menayangkan filem animasi Pixar Studio- Disney, ‘Lightyear’ kerana mengandungi unsur negatif tersebut merupakan sesuatu tindakan yang tepat.
Tegasnya, kerajaan Malaysia khususnya LPF perlu lebih berhati-hati dengan gelombang kempen yang dibuat oleh pengusaha filem antarabangsa khususnya Walt Disney sendiri.
“Lambakan filem Disney mula memasukkan sedikit demi sedikit unsur LGBTQ sebagai sebahagian daripada kempen inklusiviti besar-besaran untuk menormalisasi budaya songsang tersebut ke dalam masyarakat global.
“Disney sedang giat mempromosi kempen ‘Reimagine Tomorrow’ dengan komitmen memasukkan 50 peratus unsur yang berkait dengan kumpulan etnik minoriti dan komuniti LGBTQ sebagai karakter utama dalam filem yang diterbitkan di bawah Disney.
“Ia termasuklah karakter dalam beberapa filem kontroversi sebelum ini seperti filem ‘Doctor Strange in the Multiverse of Madness’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Yahya berkata, pihaknya tidak sesekali mahu berkompromi dengan sebarang unsur yang boleh merosakkan pemikiran masyarakat di negara ini.
Justeru, pendirian Malaysia yang konsisten menolak unsur LGBTQ tidak perlu dipertikai, malah ia perlu diperkukuh sebagai identiti utama masyarakat di negara ini.
“Oleh yang demikian, pihak LPF digesa tidak sesekali berkompromi dengan usaha menormalisasi budaya songsang tersebut ke dalam negara melalui industri seni, katanya.
Terdahulu, dilaporkan negara-negara di seluruh Asia dan Asia Barat telah menolak untuk filem yang menampilkan babak ciuman sejenis itu daripada ditayangkan.
Antara negara yang tidak membenarkan penayangan filem itu ialah Malaysia, Indonesia, Bahrain, Mesir, Iraq, Jordan, Kuwait, Lubnan, Oman, Wilayah Palestin, Qatar, Arab Saudi dan Syria.