Berita UtamaDunia

LGBT: Arab Saudi rampas mainan, pakaian berwarna pelangi

Pantau barangan bercanggah akidah, promosi homoseksualiti

RIYADH, 16 Zulkaedah 1443H, Khamis – Pegawai Arab Saudi merampas mainan dan pakaian berwarna pelangi dari kedai-kedai di ibu negara sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap homoseksual, lapor media kerajaan.

Laporan oleh saluran berita Al-Ekhbariya yang dikendalikan kerajaan menyatakan pegawai Kementerian Perdagangan mengeluarkan pelbagai barangan dari kedai sekitar Riyadh.

“Kami pantau barang yang bercanggah dengan akidah Islam dan moral awam dan mempromosikan warna homoseksual yang menyasarkan generasi muda,” kata seorang pegawai dari Kementerian Perdagangan.

Barangan yang disasarkan dalam serbuan baru-baru ini termasuk skirt, topi dan bekas pensel berwarna pelangi, kebanyakannya dihasilkan untuk kanak-kanak.

Serbuan dilakukan kerana Arab Saudi telah mengharamkan filem yang menggambarkan, atau merujuk kepada, minoriti seksual. 

April lalu, kerajaan dilaporkan mengharamkan sekuel filem Doctor Strange kerana memasukkan watak LGBT+, menurut The Hollywood Reporter.

Pada 2020, Mahkamah Arab Saudi menjatuhkan hukuman penjara dan pengusiran terhadap warga Yaman kerana video dalam talian yang menyokong hak LGBT.  

Penulis blog Yaman, Mohamed al-Bokari dijatuhi hukuman penjara 10 bulan pada 20 Julai dan denda 10,000 riyal Saudi ($2,700) atas tuduhan ‘melanggar moral awam dengan mempromosikan homoseksualiti dalam talian’ dan ‘meniru wanita’.

Pada 2016, seorang doktor Arab Saudi telah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana mengibarkan bendera pelangi di atas rumahnya, tanpa menyedari bahawa ia melambangkan hak LGBTQ.

Menurut CNN Arabic, doktor itu membeli bendera secara dalam talian kerana anak-anaknya mendapati warna itu ‘cantik’.

Tindakan keras itu juga berlaku hanya sehari selepas pihak berkuasa di Syria merampas ratusan layang-layang kanak-kanak kerana ia ‘menggalakkan homoseksualiti’, mencetuskan kritikan daripada rakyat Syria, menurut laporan yang diterbitkan akhbar Al-Quds Al-Arabi yang berpangkalan di London. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button