Berita Utama

MAFI olah semula, tambah baik sekuriti makanan negara

Kesan gangguan rantaian bekalan berjaya ditangani elak krisis melampau

KUALA LUMPUR, 16 Zulkaedah 1443H, Khamis – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersedia untuk menambah baik dan mengolah semula Pelan Tindakan melibatkan komoditi makanan bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) untuk memastikan sekuriti makanan di dalam negara terjamin. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah itu melibatkan Dasar Agro Makanan Negara 2.0 dan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) khususnya apabila negara sebelum ini belum berhadapan keadaan pascapandemik yang mencabar.

Beliau berkata, perkembangan terkini melibatkan konflik geopolitik (peperangan Rusia-Ukraine) dan kesan penutupan sempadan ketika pandemik telah menimbulkan keperluan itu. 

“Apabila kita merangka DSMN dan Dasar Agro Makanan Negara, kita belum berhadapan satu tahap pascapandemik yang mencabar. Namun perkembangan terbaharu menambah cabaran terhadap rantaian makanan negara bukan sahaja di Malaysia tetapi juga seluruh dunia. 

“Jadi kita di kementerian ini bersedia untuk menambah baik pelan-pelan tindakan yang telah kita olah dalam keadaan yang kurang mencabar dan disesuaikan dalam keadaan kini yang mencabar,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BernamaTV.

Pada masa sama, beliau memaklumkan kerajaan berjaya menangani kesan daripada gangguan rantaian bekalan sekali gus mengelakkan negara daripada berhadapan dengan keadaan krisis yang melampau. 

“Kita sentiasa bersedia untuk melakar dan mengolah Pelan-Pelan Tindakan yang strategik dan perlu bagi memastikan gangguan ini tidak memberi kesan krisis kepada bekalan rantaian makanan di negara kita,” katanya.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button