Berita Utama

‘Saya jumpa Zuraida dulu, baru Muhyiddin’

Kerajaan masih stabil meski ada khabar angin kaitkan sokongan terhadapnya: PM

BANGI, 16 Zulkaedah 1443H, Khamis – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Zuraida Kamaruddin bagi membincangkan kedudukannya sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, minggu depan.

Beliau telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan mengadakan pertemuan dengannya selepas perjumpaan dengan Zuraida.

“Saya akan jumpa Zuraida minggu depan, sama ada sebelum atau selepas (mesyuarat) Kabinet.

“Saya sudah beritahu Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya jumpa Zuraida dulu selepas itu barulah saya jumpa (beliau), Zuraida saya jumpa minggu depan dan lepas itu saya jumpa (Muhyiddin),” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang masih menjalankan tugasnya sebagai menteri Kabinet seperti biasa.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida memberitahu akan meletak jawatan sebagai menteri serta keluar BERSATU untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan hari ini masih stabil walaupun timbul khabar angin yang mengaitkan sokongan terhadap dirinya sebagai Perdana Menteri.

Katanya, bukan sahaja komponen Perikatan Nasional (PN) seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS, malah Pakatan Harapan (PH) terus memberikan sokongan terhadap kerajaan hari ini.

“Kerajaan sekarang mahu tumpu isu ekonomi, bekalan dan inflasi yang dihadapi oleh seluruh dunia, kita cuba atasi masalah ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button