Berita Utama

Tak perlu ikut telunjuk Barat mansuh hukuman mati

Patut dapatkan pandangan rakyat sama ada setuju atau tidak

 

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 16 Zulkaedah 1443H, Khamis – Tekanan memansuhkan hukuman mati telah berlaku sekian lama terutamanya dari negara Barat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhaluan kiri atau liberal. 

Peguam Lukman Sheriff Alias berkata, apabila ada pertemuan dengan duta, perkara memansuhkan hukuman mati adalah antara isu-isu yang dibangkitkan.

“Isunya mengenai sama ada kita (Malaysia) mampu memansuhkan hukuman mati ataupun tidak. Ini berlaku sebelum 2018. 

“Selepas 2018, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengkaji semula hukuman mati dan pada masa itu, saya dan rakan-rakan tidak setuju langsung untuk memansuhkan hukuman mati.

“Sebab pada saya, perkara sebegini patut diajukan kepada rakyat,” katanya dalam rancangan Dimensi yang disiarkan TV Pertiwi, malam ini.

Lukman berkata, sebenarnya mana-mana hukuman di sesebuah negara itu mencerminkan nilai budaya masyarakat setempat.

“… dan apabila ingin diubah sebegitu rupa patutnya dapatkan pandangan rakyat untuk tahu mereka setuju atau tidak. Tapi disebabkan tekanan, satu jawatankuasa telah terbentuk. 

“Mengikut tinjauan, masih ramai rakyat mahu hukuman mati. Di situ lah punca di mana jawatankuasa itu terbentuk. Dan bagaimana sekarang ini dikhabarkan bahawa mereka telah meneliti balik kajian jawatankuasa tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Lukman berkata, jika melihat sejarah penghapusan hukuman mati, ketika ini hampir semua negara Barat bersetuju dengannya. 

Sementara di Amerika Syarikat (AS) pula, katanya berlaku perdebatan sengit di kalangan rakyatnya. 

“Berlaku pertembungan nilai, satu nilai yang dibawa oleh liberal, ateis dan parti demokratik. Satu lagi yang mempertahankan hukuman mati adalah dari kumpulan konservatif, beragama, republikan. Terdapat perpecahan besar. 

“Mengikut tinjauan, majoriti masih mahukan hukuman mati. 80 peratus rakyat di sana bersetuju mahukan hukuman mati,” katanya.

Dalam pada itu, Lukman menegaskan, ada hak asasi yang boleh dipersetujui dan ada juga yang tidak perlu diikuti.

“Apa yang berlaku sekarang seolah-olah kita kena akur. Sedangkan negara mereka tandatangan 5 hingga 6 sahaja hak asasi dalam konvensyen. Jangan terpengaruh sangat. 

“Apa yang perlu kita buat, kita kena pertahankan hak asasi dan selalu pertingkatkan ia, tetapi tidak perlu ubah ikut acuan Barat. Kita ada nilai budaya sendiri yang kita perlu iktiraf,” katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku ketika ini adalah kebanyakannya yang dahulu bukan hak asasi diuar-uarkan pula sebagai hak yang perlu diperjuangkan.

“Itu kena hati-hati. Kita kena paham supaya tidak terperangkap. Sama ada sesuai ke tidak dengan masyarakat itu masyarakat tentukan.

“Banyak kesalahan kita boleh tengok balik ada 11 kesalahan yang terlibat di bawah pemansuhan hukuman mati mandatori. Henious crime, apakah nilai masyarakat hukuman yang setimpal dengan masyarakat yang sesuai dengan kesalahan tersebut. Itu perlu dinilai,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan berkenaan dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas.

Pautan Dimensi; 

https://fb.watch/dGZGzy08t6/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button