Berita Utama

Tunku Ismail dilantik Pemangku Raja mulai hari ini

Sultan Johor tak sebut tempoh jawatan itu akan dipegang

ISKANDAR PUTERI, 16 Zulkaedah 1443H, Khamis – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan melantik anakanda sulung baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Raja mulai hari ini.

Baginda mengumumkan perkara itu ketika bertitah merasmikan mesyuarat kedua (pembukaan rasmi) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

“Saya melantik Tunku Mahkota Johor sebagai Pemangku Raja, saya ingin berehat sekejap, terima kasih, mulai hari ini,” titahnya.

Bagaimanapun, baginda tidak menyebut tempoh jawatan itu akan dipegang oleh Tunku Ismail.

Kali terakhir Tunku Ismail dilaporkan memegang jawatan itu apabila baginda dilantik pada 10 Ogos 2019.

Seminggu lepas, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan berundur dan menyerahkan urusan harian kelab itu kepada pengurusan tertingginya.

Menerusi hantaran di laman Facebook Johor Southern Tigers pada 9 Jun lepas, Tunku Ismail berkata keputusan itu adalah disebabkan tanggungjawab dan komitmennya yang lain.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button