Pendapat

Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan

Pemain industri disaran terbit filem boleh bentuk jiwa yang suka berjuang

ALHAMDULILLAH saya berpeluang menonton tayangan perdana filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara dan diarahkan Syamsul Yusof serta dibarisi pelakon-pelakon tempatan yang berkaliber malam tadi. Masih terngiang-ngiang di telinga saya kesan-kesan visual, bunyi dan dialog-dialog yang dipaparkan.

Filem biopik sejarah seperti ini yang memaparkan perjuangan pahlawan Melayu seperti Mat Kilau menentang penjajahan British jarang sekali dihidangkan kepada peminat-peminat filem tempatan kerana ia dikatakan tidak diminati dan tidak menguntungkan.

Saya ingin memuji langkah berani Studio Kembara yang diterajui Haji Abdul Rahman Mat Dali dan rakan-rakan yang berusaha gigih menerbitkan filem ini sehingga berjaya ditayangkan.

Saya bukan penggiat seni, bukan juga penerbit filem tetapi saya pencinta agama dan bangsa. Saya berasa amat puas hati dan filem ni sama sekali tidak mengecewakan saya daripada aspek pre produksi, produksi dan pasca produksi, semuanya pada saya dilakukan dengan baik sekali.

Terdapat adegan aksi-aksi yang lasak dan mendebarkan, persilatan Melayu yang gah dan berseni penuh adab dan adat, babak-babak sedih dan babak-babak meremang bulu roma yang buat kita bangga kita adalah Melayu Islam. Semua ramuan ada dalam menjadikan filem ini berjaya menyampaikan mesej tersirat iaitu kita perlu pertahankan jati diri orang Islam dan Melayu dan seperti yang ditekankan beberapa kali dalam filem ini, ‘kalau Melayu bersatu tiada siapa dapat mengalahkan kita’.

Saya ingin meminta agar pemain-pemain industri media kreatif di luar sana agar jangan fikir keuntungan semata-mata. Sebaliknya perlu berfikir bagaimana untuk membina kembali jati diri, peradaban dan kemakmuran Islam dan Melayu.

Oleh itu disarankan agar menerbitkan filem-filem yang boleh membentuk jiwa-jiwa yang suka berjuang, melahirkan peribadi dan jati diri yang ikhlas menjaga maruah agama dan bangsa serta ummah yang mempunyai kemahiran dan keilmuan yang tinggi dalam pelbagai bidang.

Nasihat saya agar ramai antara kita menyokong industri filem tempatan terutamanya filem genre sejarah ini agar dapat menghidupkan kembali semangat juang, peribadi berkualiti dan keyakinan diri.

Bawalah keluarga menonton filem ini dan ceritakan pada mereka sejarah orang Melayu sebenar.

Orang Melayu bukan pemalas.

Orang Melayu tidak mudah kalah.

Orang Melayu mempunyai sejarah keperibadian, keilmuan dan kemahiran yang tinggi.

Sekali lagi, ucapan tahniah dan syabas pada penerbit Studio Kembara Haji Abdul Rahman Mat Dali dan rakan-rakan serta para pengarah, pelakon dan kru yang menjayakan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

Kami menanti dengan penuh pengharapan filem genre sejarah yang seterusnya Insha Allah.

Dr Norzila Baharin
Pengerusi & Ahli Lembaga Pengarah Media Isma Sdn Bhd

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button