Bon Odori: Hati-hati bimbang terjerumus syirik
Tiada istilah puja roh, itu hanya memuja makhluk halus dan jin

BANGI, 17 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Sekalipun perayaan festival Bon Odori ditukar ke nama lain untuk dilihat sebagai upacara kebudayaan, ia tidak sesekali mengubah hukum selagi mana upacaranya masih kekal diraikan.
Ini kerana, program berkenaan mempunyai kaitan dengan upacara agama lain dan mengikut tradisi lama – memuja roh – walaupun berlaku sedikit perubahan dalam persembahan.
Ketua Perhubungan ISMA Kelantan, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir berkata, apabila disebut upacara memuja roh, maka ianya adalah syirik dalam Islam.
“Bila ada orang Islam menyertai upacara tersebut bermakna mereka menyertai upacara syirik dalam agama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, pemujaan roh adalah dakwaan palsu, sedangkan apa yang dipuja itu hanyalah makhlus halus yang dinamakan jin.
“Ini bermakna bila ada mana-mana golongan yang mendakwa memuji roh tok syeikh tertentu kerana mereka masih boleh berhubungan dengan tok guru atau syeikh mereka, ianya adalah ajaran batil.
“Kumpulan isi masih melaksanakan rukun rukun Islam yang lain tetapi pada masa yang sama mereka melakukan perkara syirik,” katanya.
Merujuk semula perayaan Bon Odori, beliau berkata, program itu dilaksanakan oleh agama lain, maka tidak wajar bagi orang Islam menyertainya.
Ustaz Sharipudin berkata, sebagai orang Islam sepatutnya berhati-hati supaya tidak terjerumus dalam perkara syirik.
“Sebahagian besar agama di dunia ini semuanya memuja jin dan syaitan. Tokong atau berhala hanya simbol pemujaan sahaja.
“Tidak hairan jika mereka mengadakan upacara puja roh kerana hakikat yang sebenar adalah puja jin dan syaitan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini kerana mengandungi unsur agama lain.
Festival yang sudah disambut di Jepun sejak 500 tahun lalu menampilkan persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.