Berita Utama

Bon Odori: Kenyataan Setiausaha PAS Selangor tidak tepat

Sultan Sharafuddin hanya nyata pendirian tidak sekat festival

BANGI, 17 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha PAS Selangor, seperti disiarkan sebuah portal berita adalah tidak tepat dan tidak pernah berlaku.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pada sesi menghadap itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah hanya menyatakan mengenai pendirian baginda tidak menyekat festival kebudayaan Jepun Bon Odori yang akan diadakan di Selangor kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Katanya, Sultan Selangor juga menyatakan pandangan baginda bahawa festival Bon Odori hanya berunsur kebudayaan semata-mata.

“Baginda juga tidak menghalang mana-mana orang Islam untuk menghadirinya sehingga satu kajian mendalam dilakukan terhadap festival berkenaan, sama ada ia berunsur keagamaan atau kebudayaan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat khususnya masyarakat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang disiarkan di sebuah portal berita semalam di bawah tajuk ‘Tiada masalah antara kami, kata PAS Selangor selepas menghadap Sultan’.

Dalam kandungan berita tersebut, beliau dipetik sebagai berkata “Baginda ingin tahu pendirian kami dalam perayaan Bon Odori. Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda.”

Mohamad Munir berkata, dalam sesi menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pada petang 14 Jun itu, turut dititah hadir bagi menyaksikan pertemuan itu adalah beberapa orang Ahli Dewan di-Raja Selangor termasuk Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button