Artikel Khas

Filem Mat Kilau digarap penuh jiwa untuk tatapan anak bangsa

Angkat mesej perjuangan Islam yang jadi tunjang perjuangan bangsa Melayu

ALHAMDULILLAH, saya dan rakan-rakan diberikan peluang untuk menonton secara eksklusif Tayangan Perdana Filem Mat Kilau semalam (23/6/2022) untuk tontonan umum.

Memang hebat sungguh filem ini. Luar biasa.

Paling ketara bagi saya ialah mesej yang disampaikan dalam setiap bait-bait kata dan dialognya. Memang skripnya ditulis dengan penuh ‘jiwa’ untuk tatapan anak bangsa.

Kata-kata sinis watak-watak pahlawan dalam filem ini seolah-olah ‘teguran’ nenek moyang kita kepada generasi Melayu yang sedang hidup. Memang banyak yang menyentap dan membuatkan kita merenung kembali apa usaha kita untuk bangsa Melayu.

Tidak berlapik-lapik apatahlagi apologetik langsung. Saya bangga sungguh ada yang berani buat filem sebegini.

Saya bangga bagaimana filem ini mengangkat mesej-mesej perjuangan Islam yang sebenarnya menjadi tunjang kepada perjuangan bangsa Melayu.

Selama ini, pengkritik (dengan hanya tengok trailer sahaja) kata kononnya filem tidak dibuat kajian mendalam. Kebanyakannya mengulas panjang dari aspek-aspek seperti keris dan pakaian semata.

Namun, hakikatnya selepas menonton, saya kira pembuat filem ini telah fokus dalam membuat persedian dan kajian mendalam terhadap aspek Islam dalam perjuangan Melayu. Inilah tunjang utama perjuangan Melayu.

Saya kira, filem ini pasti akan membuat masyarakat antarabangsa teruja dengan Silat. Memang seni silat ditonjolkan dengan sangat dahsyat melalui babak-babak aksi dan pertempuran.

Lemahnya bangsa Melayu bukan kerana lemah atau kuatnya senjatanya, tetapi bergantung kepada kebijaksanaan, jati diri dan agamanya. Bunyi macam ‘cliche’ tapi kalau nak tahu, tengoklah filem ini.

Kekejaman penjajah terhadap dunia Islam sejak dulu perlu sentiasa diingatkan dalam bentuk-bentuk filem sebegini untuk menyedarkan anak bangsa bahawa apa yang jadi sekarang dan akan datang akan terus berulang jika kita lalai apatahlagi belot, korup dan hilang pedoman.

Saya sebenarnya tidak boleh berhenti berfikir tentang filem ini kerana betapa terujanya dan mesej-mesejnya sentiasa terngiang-ngiang di minda.

Dalam panggung memang rasa bersemangat, nak teriak dan laungkan “Allahuakbar” sahaja. Dahsyat betul impak filem ini ke dalam jiwa.

Akhir sekali, saya sarankan supaya bawalah keluarga dan sahabat-sahabat semua menonton Filem Mat Kilau yang bakal ditayangkan kepada umum bermula pada 23 Jun 2022 nanti.

Inilah filem yang WAJIB ditonton oleh semua rakyat Malaysia dan bangsa Melayu seluruh Nusantara.

**Mohon kongsikan coretan saya ini agar lebih ramai tahu dan tertarik menonton filem ini nanti.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
17 Jun 2022

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button