Berita Utama

PM digesa segera bertindak sejajar titah Agong

Muhyiddin perlu berani adakan sidang Parlimen demi maslahah umum

BANGI, 20 Zulkaedah 1442H, Khamis – Parti BERJASA menggesa perdana menteri serta jemaah menteri segera bertindak untuk menterjemahkan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kelmarin, Seri Paduka Baginda buat kali ketiga menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Namun demikian, sehingga hari ini, tiada maklum balas dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bahkan, rakyat dimaklumkan oleh Pejabat Perdana Menteri bahawa beliau dimasukkan ke hospital di ibu negara kerana diarea.

Bimbang dengan situasi semasa, Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim menegaskan, perdana menteri mesti mempunyai keberanian untuk membuka persidangan Parlimen demi maslahah umum. 

Jelasnya, semak dan imbang setiap isu utama negara pastinya menghasilkan satu keputusan bersama yang terbaik.

“Semua MP daripada pihak kerajaan dan juga pembangkang mesti bersedia dengan jiwa negarawan. Pendekatan melalui keserasian dan keharmonian kedua dua belah pihak mesti dijelmakan sebagai norma baru didalam persidangan nanti.

“Segala idea dan cadangan mesti memfokuskan kepada membawa negara keluar daripada pandemik COVID-19. 

“Keselamatan nasional, kesuburan ekonomi dan ketenteraman awam adalah merupakan tajuk utama mereka. Rakyat sudah pasti terasa bahawa mereka dibela. 

Justeru, kematangan dan kewibawaan Ahli Parlimen melalui pendekatan keserasian dan keharmonian antara kerajaan dan pembangkang amat memberi kesan yang positif dari pelbagai sudut untuk dinilai oleh rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button