Berita Utama

Rakaman video Bella cedera, diselamatkan saksi ditayang di mahkamah

Perbicaraan akan bersambung pada 29 Jun

KUALA LUMPUR, 17 Zulkaedah 1443H, Jumaat – Mahkamah Sesyen di sini hari ini ditunjukkan dua rakaman video yang memaparkan kecederaan dialami remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella yang diselamatkan oleh seorang saksi.

Dua video berdurasi enam minit 32 saat dan 41 saat itu dimainkan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pada perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Kedua-dua video tersebut telah dianalisis oleh saksi pendakwaan ke-10, Juruanalisa Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Mior Samsul Abd Rahman.

Selepas video itu dipaparkan, mahkamah menangguhkan prosiding selama lima minit bagi memberi ruang kepada Zilfinaz untuk menenangkan diri yang sebak selepas melihat dua video tersebut.

Terdahulu, Mior Samsul dalam pernyataan saksinya berkata, pada 22 Julai 2021, beliau menerima permohonan analisis berkaitan kes tersebut dan menerima barang kes iaitu sebuah telefon bimbit jenama iPhone bersama satu sim kad Maxis yang dihantar oleh Inspektor Suhaili Mahad.

“Pada 9 Ogos 2021 pukul 9 pagi, saya telah menjalankan proses mengekstrak data yang dikehendaki dari telefon bimbit itu dengan menggunakan perisian XRY. Fail yang telah dikeluarkan dari telefon bimbit tersebut adalah video berdurasi enam minit 32 saat dan video berdurasi 41 saat,” katanya.

Saksi itu berkata, permohonan pegawai penyiasat dalam kes itu adalah untuk menjelaskan gambar kecederaan daripada video bertarikh 24 Jun 2021.

“Saya telah rakam dan menganalisis imej yang dikehendaki dari video yang telah dikeluarkan dari telefon bimbit secara kaedah zooming dan sharpness dengan menggunakan perisian yang dinamakan video investigator.

“Setelah proses analisis selesai, saya telah cetak lapan muka surat imej yang dikehendaki dan menyediakan satu laporan analisis,” katanya.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Izralizam bersambung 29 Jun. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button