Artikel Khas

Siri 3: Menuju Hari Peradaban Bangsa Melayu

Jihad orang Melayu adalah jihad pertahankan Islam dari dirobek penjajah

1. HARI ini, banyak ulasan disiarkan berkenaan majlis tayangan perdana filem Mat Kilau yang berlangsung di The Starling Mall, Damansara malam tadi. Rata-rata memberikan pujian terhadap filem tersebut kerana katanya dapat membangkitkan semangat perjuangan bangsa Melayu Islam disamping mengenang semula jerit perit beberapa tokoh perjuangan kemerdekaan seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan lainnya. Sebelum tayangan perdana malam tadi, saya diberi peluang untuk menontonnya bersama penerbit. Memang benarlah sebagaimana yang diulas oleh ramai pengulas tersebut.

2. Sebagai rakan kepada penerbit filem tersebut, saya secara peribadi mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Tuan Haji Abd Rahman Mat Dali dan Tuan Haji Shaharudin Mat Dali dan pasukannya. Tidak mudah untuk dua orang adik beradik ini yang bukan dari latar belakang orang filem untuk membuat keputusan menubuhkan Studio Kembara dan memulakan pengembaraan di alam perfileman sehinggalah kepada terhasilnya filem Mat Kilau ini. Saya tumpang bangga sebab kedua-duanya juga adalah orang Perak seperti saya. Ini semua saya anggap sebagai permulaan untuk satu penghasilan lain yang lebih banyak samada di tangan mereka atau di tangan penerbit-penerbit lain. Tahniah dan syabas.

3. Jihad orang Melayu adalah jihad mempertahankan Islam dari dirobek oleh penjajah yang datang silih berganti. Ia sudah bermula lama sejak kedatangan Portugis lagi dan bukan hanya di zaman British sahaja. Fakta bahawa bangsa Melayu ini adalah bangsa jihad adalah suatu yang seolah-olah sudah hilang dalam minda generasi muda sekarang.

4. Cuba perhatikan catatan yang ditulis oleh Diogo Lopes de Sequeira setelah beliau tiba dan melihat sendiri masyarakat Melayu di Melaka.

“Bandar itu dibahagikan kepada dua dan dihubungkan dengan sebuah jambatan kayu. Terdapat banyak rumah batu. Rumah yang lain dibuat dengan kayu dan bumbungnya beratap. Sultan dan orang tempatan adalah orang Islam. Terdapat juga istana-istana yang cantik. Rakyat di situ adalah Melayu yang berwarna kulit coklat gelap. Bahasanya senang dan mudah dipelajari. Mereka sopan, gagah dan tertib. Mereka suka lagu dan hidup dengan gembira. Mereka juga merupakan tentera yang bersedia mati di medan pertempuran.”

“Mereka juga merupakan tentera yang bersedia mati di medan pertempuran”, adalah satu persaksian tentang semangat jihad yang sebati di dalam jiwa orang Melayu sejak dari zaman kedatangan Portugis lagi.

5. Inilah sebenarnya yang menjawab persoalan kenapa Portugis yang kononnya hebat itu selama 130 di Melaka hanya menetap di kawasan pesisiran pantai Melaka sahaja. Tidak ada Portugis di Muar. Tidak ada Portugis di Naning. Tidak ada Portugis di Pahang. Hanya di sepanjang pesisiran pantai Melaka yang dianggarkan dalam 15 km sahaja mereka menetap. Kerana mereka tidak mampu untuk meluaskan jajahan mereka lebih dari itu.

6. Portugis di Melaka seperti duduk di dalam neraka selama 130 tahun. Mereka sering diserang. Sebagai contoh beberapa serangan yang berlaku kepada Portugis di Melaka:

– Sultan Mahmud telah mengumpulkan pahlawan Melayu untuk menyerang Portugis sebanyak lima kali sehingga 1528.
– Serangan diteruskan oleh anaknya dari kesultanan Melayu Islam Johor.
– Terdapat juga serangan dari orang-orang Jawa yang tinggal di Melaka.
– Terdapat juga serangan dari Demak.
– Serangan yang besar seterusnya dilakukan oleh Kesultanan Acheh berkali-kali di bawah pimpinan Sultan Iskandar Muda (1607-1623) seorang pemimpin Islam yang berjiwa besar.

7. Perkara yang sama juga berlaku terhadap Belanda yang menduduki Melaka dari 1641-1824. Walaupun Belanda berjaya meluaskan pengaruhnya ke Selangor dan Perak, tetapi kita juga menyaksikan beberapa siri peperangan berlaku di antara orang Bugis dan Belanda di Selangor dan peperangan antara orang Melayu dengan Belanda di Perak.

Ini menjadikan kesan peninggalan Belanda yang boleh dilihat dalam tempoh 183 tahun pendudukannya di Tanah Melayu hanyalah di Melaka, Kuala Linggi, Bukit Melawati dan Pulau Pangkor serta kawasan sekitarnya tetapi tidak berjaya melebihi sempadan itu.

8. Aktiviti jihad yang sama lebih banyak berlaku di zaman penjajahan British. Ini termasuklah gerakan Mat Kilau yang difilemkan itu. Dalam siri keempat nanti saya akan kongsikan secara ringkas jihad orang Melayu Islam di zaman penjajahan British ini.

9. Akhirnya berbalik kepada filem Mat Kilau tersebut, saya rasa bagi orang Melayu Islam, ambillah peluang untuk menontonnya bersama keluarga. Jika tidak selesa di pawagam, tunggulah di kaca TV. Tidak lama, akan sampai juga kepada tayangan umum dalam masa terdekat nanti. Wariskanlah semangat jihad kepada anak-anak agar ianya tidak hilang. Jika generasi dahulu membacakan kepada anak-anak mereka kisah perjuangan, generasi hari ini boleh kongsikan kepada anak-anak dalam bentuk visual yang lebih mengesani pastinya.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Siri 1: Menuju Hari Peradaban Bangsa Melayu

Siri 2: Menuju Hari Peradaban Bangsa Melayu

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button