Berita UtamaDunia

Israel musnah kubur lama Palestin

Penduduk Yahudi turut bakar ladang zaitun, rampas jentolak

BAITULMAQDIS, 28 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Sikap biadab dan melampau rejim pengganas Israel tiada penghujungnya, terbaharu mereka memusnahkan kubur Islam al-Yousifeh, yang berusia berabad-abad lamanya di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Penjaga kubur, Mustafa Abu Zahra berkata, jentolak Israel merobohkan dinding batu kubur seminggu selepas merobohkan tangga kawasan itu. 

Abu Zahra menyifatkan tindakan biadab Israel itu sebagai satu keganasan di tanah suci itu. 

Katanya, beberapa penduduk Palestin yang berada di kawasan itu cuba menghentikan kerja-kerja pemusnahan kubur, namun dihalang oleh kakitangan Israel.  

Tindakan Israel yang merancang untuk membina sebuah taman di lokasi perkuburan itu menaikkan kemarahan kebanyakan penduduk Baitulmaqdis Timur, yang memiliki orang-orang tersayang dikebumikan di kawasan itu. 

Dalam perkembangan lain, penduduk haram Yahudi membakar sebidang ladang zaitun milik keluarga Palestin di Khallet Ad-Dabi dekat Timur bandar Yatta, di daerah Hebron. 

 

Pegawai tempatan, Rateb al-Jabour berkata, sekumpulan penduduk haram dari Mitzpe Yair melemparkan objek mencurigakan ke ladang zaitun yang menyebabkan api marak serta memusnahkan kira-kira 400 batang pokok.

Anggota bomba Palestin berjaya memadamkan kebakaran itu, sebelum sampai ke rumah penduduk berdekatan.  

Selain itu, rejim pengganas Israel pada semalam turut merampas jentolak milik penduduk Palestin di kawasan sama. 

Penyelaras Jawatankuasa Perlindungan dan Kestabilan di Masafer Yatta, Fuad al-‘Amour berkata, jentolak milik Jabreen al-‘Adra dirampas ketika beliau sedang memulihkan tanah berhampiran kawasan al-Bweib di Timur Yatta. 

Katanya, penduduk haram menghalang penduduk Palestin daripada memasuki tanah mereka sebelum merampas jentolak, yang kemudiannya disita oleh rejim Zionis. 

Pada masa sama, sekumpulan penduduk haram bersenjata yang lain mengambil kesempatan menyerang gembala Palestin di kampung Syusya, berhampiran bandar Yatta.

Malah, mereka turut menghalang kemasukan gembala ke padang ragut di kawasan berkenaan. -Agensi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button