Berita Utama

Isu kekurangan bekalan lembu selesai sebelum Julai

Tempoh kuarantin lembu import dipendekkan kepada 14 hari

ALOR GAJAH , 18 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Isu kekurangan bekalan lembu hidup bagi ibadah korban dijangka selesai menjelang awal Julai ini, termasuk tempoh kuarantin kemasukan lembu import yang dipendekkan kepada 14 hari.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (DVS), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, pihaknya telahpun mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa Thailand, untuk selesaikan beberapa perkara teknikal dan protokol, bagi membolehkan lembu dari Thailand masuk ke Malaysia dengan segera.

“Semalam pun kita sudah menghantar satu surat terkini kepada pihak Thailand, untuk meminta kerjasama mereka agar membenarkan pengeluaran sijil kesihatan veterinar bagi melepaskan lembu-lembu yang telah ada dalam stesen kuarantin di Thailand.

“Insya-Allah dalam tempoh yang terdekat, sebelum raya korban ini kita akan dapat selesaikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang ternakan ayam Leong Hup di Taboh Naning di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Badrul Hisham Mohd. 

Jelasnya Malaysia memerlukan memerlukan 42,000 lembu hidup bagi tujuan ibadah korban, namun setakat ini bekalan lembu hidup tempatan hanya mampu membekalkan dalam lingkungan 38,000 ekor sahaja.

“Kita masih bergantung harap untuk kemasukan segera lembu hidup dari luar khususnya daripada Thailand memandangkan saiz lembu yang dimport dari negara itu lebih sesuai bagi ibadah korban, seperti mana lembu yang ada di Malaysia,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban juga tidak perlu bimbang dengan tempoh masa kuarantin, sekiranya lembu-lembu hidup dari Thailand itu dibenarkan memasuki Malaysia.

“Insya-Allah sempat sebab kita sudah tengok semula syarat protokol import kita dan perbincangan dengan pemain industri minggu lepas, telah memaklumkan tempoh kuarantin di Malaysia sudah disingkatkan dan kembali kepada asal iaitu dari 30 hari kepada 14 hari. 

“Jadi Insya-Allah tempoh itu akan cukup untuk lembu keluar (kuarantin) sebelum Aidiladha,” katanya.

Menyentuh mengenai rumah sembelihan yang akan digunakan sepanjang Aidiladha, Dr Norlizan menjelaskan jumlahnya masih belum ditentukan, namun sudah terdapat permintaan daripada pelbagai pihak untuk menggunakan perkhidmatan di rumah sembelihan.

“Bukan saja semasa PKP tetapi dalam keadaan sekarang pun kita masih harap dan galakan penyembelihan dilaksanakan di rumah sembelih yang ditetapkan, sama ada kerajaan atau swasta.

“Untuk tahun ini kita jangkakan seperti tahun lepas juga, yang mana banyak rumah-rumah sembelihan sudah mula menerima tempahan bukan saja dari pihak berseorangan, tetapi juga berkumpulan yang hendak melakukan ibadah korban,” katanya.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button