Berita Utama

Negara hilang seorang cendekiawan Islam

Almarhum Mahmood Zuhdi banyak sumbangan dalam bidang kesarjanaan

BANGI, 29 Zulkaedah 1444H, Ahad – Negara telah kehilangan seorang pemimpin dan ilmuwan Islam dengan pemergian Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, malam tadi.

Haji Aminuddin Yahaya berkata, beliau mengenali rapat Almarhum dan sering menjadikan cendekiawan Islam tersebut sebagai rujukannya dalam pelbagai perkara.

“Beliau seorang yang berilmu dan mempunyai pandangan luas yang tidak dapat disangkal lagi.

“Negara kehilangan seorang cendekiawan Islam yang telah banyak berjasa kepada negara dalam pelbagai bidang khususnya kesarjanaan. Penulisan-penulisan kritis beliau sangat mengesani pemikiran rakyat.

“Moga Allah merahmati roh beliau dan digolongkan dalam kalangan orang-orang yang soleh,” katanya di Facebook.

Almarhum Mahmood Zuhdi meninggal dunia pada jam 10.20 malam semalam dan berita pemergian Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) itu dimaklumkan oleh pentadbir laman sosial Facebook rasminya.

Berita pemergian tokoh itu dikongsi pengguna media sosial, termasuk mereka yang pernah menjadi pelajarnya atau bertugas di bawah seliaan Allahyarham.

Almarhum menjadi Pengerusi MDN sejak 2016 dan juga menggalas beberapa tanggungjawab besar sepanjang hayatnya seperti Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kelantan (1990-2012), Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan (1990-2012), Ahli Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (2006-2012).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button