Berita Utama

Martabat BM: Perkara 152, Akta 342 wajar disemak semula

Hampir 51 tahun tak pernah diperkemas semula meski banyak perubahan dalam dasar negara

BANGI, 18 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Perkara 152 Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 342) sewajarnya disemak semula dan penetapan baharu dibuat mengenai kedudukan bahasa Melayu dalam pentadbiran negara, sistem pendidikan, perbicaraan di mahkamah serta dewan perundangan supaya tidak dijadikan bahan polemik.

Ini kerana, inti pati dizahirkan melalui Perkara 152 Perlembagaan yang terasnya tidak banyak berubah daripada cadangan Suruhanjaya Reid.

Penasihat Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM), Datin Dr Faridah Jalil berkata, kali terakhir peruntukan itu dipinda adalah pada 1971, iaitu hampir 51 tahun ia tidak pernah diperkemas semula walaupun banyak berlaku perubahan dalam dasar negara berkenaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

“Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsan atau rasmi disangga Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 342), yang kini berusia hampir 59 tahun jika dihitung dari 1963 dan hampir 55 tahun jika dihitung dari 1967.

“Akta 342 ini juga disemak untuk kali terakhir pada 1971. 

“Apa yang menjadi kemusykilan kepada rakyat adalah kenapa Perkara 152 dan Akta 342 yang menjadi pasak pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan/rasmi tidak pernah dikaji semula walaupun pejuang, pakar bahasa dan kerajaan menyedari kedudukan bahasa ini terumbang-ambing,” katanya.

Menulis di Berita Harian (BH) hari ini, Dr Faridah berkata, badan eksekutif perlu tegas mengenai penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara bagi urusan dalaman pentadbiran dan merangka dasar terbaru mengenai kedudukan bahasa Melayu selari dengan pembentukan perpaduan dan hubung kaitnya dengan tamadun.

Katanya, pembentukan dasar terbaru membolehkan dewan perundangan menghasilkan undang-undang bahasa yang jitu untuk memandu pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta menutup tohmahan mengenai kedudukan bahasa Melayu.

“Pembentukan undang-undang bahasa Melayu sebagai naskhah sahih oleh Parlimen akan melancarkan penggunaan bahasa Melayu di mahkamah, kerana ungkapannya akan dilihat dalam konteks alam Malaysia dan ditafsir berdasarkan prinsip keadilan setempat pada hari ini selari piawaian antarabangsa.

“Dalam bentuk peruntukan Perkara 152 dan Akta 342 sekarang, hasrat memartabat bahasa Melayu boleh dilihat sebagai ‘jauh panggang dari api’,” katanya.

Beliau berkata, Perkara 152 sepatutnya dilihat sebagai peruntukan transisi akan luput dan bukan terus kekal.

“Selepas 10 tahun, Perkara 152 sepatutnya dipindahkan menjadi satu peruntukan di Bahagian I Perlembagaan yang dikhususkan sebagai ‘Negeri-negeri, Agama, Bahasa dan Undang-undang bagi Persekutuan’.

“Akta 342 pula sewajarnya digantikan dengan peruntukan baharu lebih tegas dan terarah berkait penggunaan bahasa Melayu.

“Akta berkenaan hendaklah menunjukkan kesungguhan dan komitmen serta memenuhi aspirasi ‘alang-alang berdakwat, biarlah hitam’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button