Peniaga rugi lebih RM500,000 diperdaya skim pelaburan di Whatsapp
52 transaksi dilakukan ke dalam 13 akaun pada 15 Februari hingga 23 April
SEREMBAN, 18 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Seorang peniaga wanita dari Port Dickson kerugian RM583,555 selepas menjadi mangsa skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan menerusi aplikasi WhatsApp pada 14 Februari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Supt Aibee Ab Ghani, berkata, mangsa berusia 35 tahun itu telah menerima pesanan menerusi WhatsApp daripada seorang lelaki tidak dikenali yang menawarkan skim pelaburan melalui aplikasi ‘RRR68.club’ .
“Tertarik dengan tawaran tersebut, wanita berkenaan melakukan pembayaran sebanyak 52 transaksi berjumlah RM583,555 ke dalam 13 akaun bank bermula 15 Feb sehingga 23 April lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa berasa ditipu selepas mendapati aplikasi WhatsAppnya telah disekat oleh individu terbabit pada bulan lepas.
Katanya, mangsa telah membuat laporan polis dua hari lepas dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- Bernama