Dunia

Ribut monsun korban 41 nyawa di Bangladesh, India

Jutaan penduduk terjejas banjir akibat hujan lebat berterusan

SYLHET, 18 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Ribut monsun di Bangladesh dan India mengorbankan sekurang-kurangnya 41 nyawa, selain menyebabkan banjir besar sehingga jutaan penduduk terkandas.

Banjir adalah ancaman biasa kepada berjuta-juta penduduk di kawasan rendah di Bangladesh, namun pakar mengatakan perubahan iklim meningkatkan kekerapan serta situasi tidak dijangka berlaku.

Hujan lebat berterusan sepanjang minggu lalu telah menyebabkan kawasan di timur laut Bangladesh dinaiki air, dan tentera dikerahkan untuk memindah penduduk yang terputus hubungan dengan komuniti jiran.

Kilat dan ribut yang melanda wilayah itu menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang terkorban di negara Asia Selatan itu sejak petang Jumaat.

Jumlah korban itu termasuklah tiga kanak-kanak berusia antara 12 dan 14 tahun yang disambar petir pada Jumaat di bandar pedalaman Nandail, kata ketua polis tempatan, Mizanur Rahman.

Empat lagi maut dalam insiden tanah runtuh berdekatan rumah mereka di bandar pelabuhan Chittagong.

Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh sejak Khamis di Meghalaya – kawasan terpencil di India – selepas tanah runtuh dan paras sungai naik sehingga menenggelamkan jalan raya.

Bersebelahan negeri Assam, lebih 1.8 juta orang terjejas akibat banjir selepas lima hari hujan lebat berterusan.

Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma berkata, dia telah mengarahkan pegawai daerah untuk memberikan bantuan diperlukan kepada mangsa yang terperangkap dalam banjir.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button