Tak perikemanusiaan, rejim Zionis bunuh pekerja Palestin
Ahmad Ghanem maut ditembak ketika ke tempat kerja

BAITULMAQDIS, 19 Zulkaedah 1443H, Ahad – Tentera pengganas Israel membunuh seorang pekerja Palestin berhampiran tembok pemisah di selatan bandar Qalqilia di Tebing Barat yang diduduki.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang diterbitkan agensi berita Wafa mengenal pasti pekerja itu sebagai Nabil Ahmad Ghanem, 53, seorang penduduk Nablus.
Dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Israel apabila tentera melepaskan tembakan ke arahnya dan warga Palestin itu mati serta-merta.
Mayat Ghanem kini ditahan di hospital Israel di Kefar Saba, lapor Wafa.
Terdahulu, dua pekerja Palestin cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah mereka berhampiran bandar Idna, daerah Hebron, lapor laman web berita Arab48.
Lebih 65 rakyat Palestin di Tebing Barat dibunuh oleh tentera Israel tahun ini, termasuk wartawan Shireen Abu Akleh.
Semalam, negara pengganas itu melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung berikutan tembakan roket yang dilaporkan dari kawasan Palestin menyasarkan bandar Ashkelon di selatan Israel.
Sehari sebelumnya, tentera Israel membunuh tiga rakyat Palestin bersenjata ketika serbuan oleh tentera di Jenin di Tebing Barat yang diduduki, selepas melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki mereka. – Agensi