Berita Utama

Filem Mat Kilau: ‘Wujudkan watak fiksyen bukti ada lagi pejuang tak disebut dalam sejarah’

Mampu beri inspirasi kepada anak muda dalam dunia kepahlawanan Melayu

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Zulkaedah 1443H, Ahad – Filem yang mengangkat kisah perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau dengan menonjolkan kehebatan dan jati diri pahlawan Melayu dalam menyelamatkan tanah air mampu memberi inspirasi kepada generasi sekarang.

Penerbit filem Mat Kilau, Shahruddin Dali berkata, genre kepahlawanan digarap untuk tatapan anak muda memandangkan generasi hari ini lebih memilih genre bercorak aksi.

“Jadi kita cuba tonjolkan kisah kepahlawanan, lagi pun genre ini sudah lama ditinggalkan iaitu 11 tahun lalu – kali terakhir filem patriotik ini dihasilkan.

“Saya rasa masyarakat sangat memerlukan rangsangan untuk cetuskan semangat patriotik bagi menghasilkan inspirasi terutama anak muda dalam dunia kepahlawanan Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjadi panel program Dimensi: Mat Kilau Kebangkita Pahlawan, yang disiarkan di TV Pertiwi.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM 8 juta dan menjalani penggambaran selama 100 hari itu menampilkan bintang hebat Adi Putra (Mat Kilau), Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).

Ia turut membarisi pelakon luar iaitu aktor dari Indonesia, yayan Ruhian.

Kata Shahruddin, beliau sebelum ini turut mengintai pelakon Hollywood namun memilih untuk mencari pelakon yang lebih dekat terutama negara jiran.

Ditanya mengenai filem berkenaan, katanya dia turut mewujudkan dua watak fiksyen iaitu Wahid dan Yasin yang dibintangi Beto Kusyari dan Johan Asa’ri.

“Wahid dan Yasin diwujudkan mewakili pejuang-pejuang Melayu yang bersama-sama Mat Kilau namun tidak pernah disebut dalam sejarah.

“Inilah pahlawan yang tidak didendang, pengorbanan, keberanian serta perjuangan mereka bersama Mat Kilau dalam menentang penjajah,” katanya.

Katanya lagi, walaupun perjuangan mereka tidak pernah dirakam dalam sejarah Melayu tetapi itu yang berlaku kepada pahlawan sebenar sehingga sanggup tinggalkan keluarga untuk berjuang.

Kongsi beliau lagi, tujuan fiksyen diwujudkan adalah untuk berkongsi kisah-kisah sebenar dan bukannya sesuatu yang tiada tetapi diadakan.

“Kajian saya selama dua tahun, kita ambil perspektif lain, bukan dari sudut jasa Mat Kilau sahaja, tetapi masyarakat setempat pada tahun 1890.

“Ia termasuklah aktiviti menggali ratusan lubang untuk mencari emas di Jerantut yang tidak diceritakan tetapi kita perlihatkan dalam filem ini,” katanya.

Pautan Dimensi:
https://fb.watch/dKfw6ZBCD9/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button