Berita UtamaDunia

Krisis ekonomi: Tentera Sri Lanka lepas tembakan bendung rusuhan

7 cedera selepas pemandu kenderaan bantah pam kehabisan petrol

COLOMBO, 19 Zulkaedah 1443H, Ahad – Tentera Sri Lanka melepaskan tembakan bagi membendung rusuhan di stesen minyak, kata pegawai pada Ahad.

Jurucakap tentera, Nilantha Premaratne berkata, tentera melepaskan tembakan di Visuvamadu, 365km utara Colombo, pada malam Sabtu ketika pusat pengawal mereka dibaling dengan batu.

“Sekumpulan 20 hingga 30 orang membaling batu dan merosakkan sebuah trak tentera,” katanya kepada AFP.

Sementara itu, polis berkata, empat orang awam dan tiga tentera cedera apabila tentera melepaskan tembakan buat kali pertama bagi meredakan kekacauan yang dikaitkan dengan krisis ekonomi yang semakin meruncing.

Apabila pam minyak kehabisan petrol, pemandu kenderaan mula membantah bahkan keadaan bertambah buruk menjadi pertempuran dengan tentera, kata polis.

Sri Lanka mengalami krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan, dengan negara itu tidak dapat mencari dolar bagi mengimport barangan keperluan, termasuk makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Kira-kira 22 juta penduduk negara mengalami kekurangan yang teruk dan beratur panjang untuk bekalan yang terhad manakala Presiden Gotabaya Rajapaksa selama berbulan-bulan menolak gesaan untuk berundur kerana salah urus.

Sri Lanka mengerahkan polis bersenjata dan tentera untuk mengawal stesen minyak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button